orang bunian



Orang bunian kononnya sering berpakaian menutup aurat dan berwarna putih.


Masyarakat zaman dahulu percaya, makhluk halus seperti jin mendiami dunia ini sebelum manusia menghuninya. Dalam lagenda Melayu, orang Bunian dikatakan makhluk halus dari golongan jin mirip dengan elf lagenda masyarakat Eropah. Hantu bunyi-bunyian atau lebih dikenali dengan nama orang bunian digelarkan sebagai hantu kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Tetapi dipercayai perbuatan atau aktiviti yang mereka lakukan boleh didengar oleh pancaindera pendengaran manusia.

Antara aktiviti bunian yang sering didengar ialah suara seperti orang yang sedang berzanji, bermain kompang, berbual, bergelak tawa, bunyi periuk belanga berlaga, riuh rendah seakan-akan majlis sedang berlangsung di dalam hutan atau bunyi-bunyi seperti perahu melalui kawasan sungai. Namun apabila cuba menghampirinya tidak terdapat satu kelibat manusia pun yang berada di kawasan tersebut. Fenomena ini sering dikaitkan dengan bunian. Orang bunian juga dikatakan mampu menyesatkan laluan atau perjalanan manusia dan terdapat juga kejadian dimana orang-orang bunian gemar menculik orang-orang yang mereka suka.

Orang bunian dikatakan mempunyai kuasa luar biasa yang hebat, gemar berkawan dan suka menolong manusia, terutamanya pawang atau bomoh. Orang bunian dikatakan membantu bomoh dalam tugas-tugas yang berkaitan dengan rawatan tradisional.

Sering juga didengar, pinggan mangkuk yang dipinjamkan oleh bunian kepada bomoh untuk upacara kenduri-kendara hendaklah dipulangkan semula dalam keadaan bersih dan sempurna supaya mereka tidak marah. Sekiranya terdapat keretakan atau pecah pada pinggan mangkuk tersebut, hendaklah diserahkan semula juga supaya mereka tidak merajuk atau kecil hati. Jika tidak, mereka dikatakan tidak akan meminjamkan pinggan mangkuk lagi kepada individu tersebut.

Orang bunian dipercayai wujud dalam satu komuniti atau masyarakat yang besar. Di antara kehidupan orang bunian dan manusia biasa tidak banyak berbeza cuma orang bunian dikatakan mempunyai kuasa ajaib dan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia.

Mereka juga dikatakan mempunyai barisan pemimpin seperti sultan, permaisuri, orang-orang besar istana, kerabat pewaris, panglima dan hulubalang dengan gelaran masing-masing.



Kerajaan bunian di alam bunian, suasananya redup dan masanya berbeza dengan masa dunia.

Selain hidup bermasyarakat, mereka dipercayai mendirikan rumah dan kawasan penempatan yang sama seperti manusia. Juga dikatakan orang bunian turut menunaikan haji dan juga mempunyai kenderaan.

Apa yang membezakan orang bunian dengan manusia ialah dari segi pakaian. Kaum lelaki dan kaum perempuan orang bunian dikatakan memakai satu warna sahaja walaupun rekaan (fesyen bajunya) berbeza-beza. Ada pendapat yang mengatakan bahawa bunian adalah hasil gabungan daripada hubungan manusia dan jin. Satu teori lain pula mengatakan terdapat satu kaum sangat alim tetapi telah lalai dan melakukan kejahatan sehingga melanggar perintah Tuhan. Kaum ini telah disumpah menjadi bunian.

Sementara versi lain mendakwa kononnya bunian berasal dari segolongan manusia yang telah berdoa kepada Tuhan supaya kewujudan mereka tidak dapat dilihat manusia lain. Mereka berasa malu dan rasa bersalah kerana telah menghidangkan daging yang tidak halal kepada seorang alim ulama. Makanan yang sepatutnya dihidangkan untuk ulama tersebut telah habis akibat kehadiran tetamu yang sangat ramai. Dalam keadaan terdesak mereka terpaksa menyembelih haiwan yang tidak sepatutnya untuk hidangan ulama.

Rupa paras orang bunian dan fizikalnya dikatakan sama seperti manusia malah lebih cantik dan kacak berbanding manusia biasa. Kaum wanita dikatakan amat cantik, berkulit putih lagi halus dan semuanya berambut panjang paras pinggang, manakala kaum lelaki bertubuh sasa dan berkulit kuning langsat.

Mereka juga mempunyai keluarga, rumah dan hidup bermasyarakat atau perkampungan dengan pelbagai kemudahan seperti yang terdapat di alam nyata. Kawasan perkampungan mereka terletak jauh di dalam hutan atau jauh dari kawasan petempatan manusia.

Tulisan orang bunian juga dikatakan agak unik. Ini kerana mereka menggunakan tulisan jawi purba dan agak sukar untuk dibaca. Orang bunian dikatakan gemar bermain kompang pada setiap malam Jumaat sekitar jam 2 pagi sehingga ke Subuh. Selain itu, terdapat juga sebilangan orang bunian yang tinggal berhampiran dengan kawasan tempat tinggal manusia atau di dalam rumah manusia itu sendiri.

Kejadian pelik seperti bau nasi hangit atau bau nasi menggelegak yang sangat kuat baunya atau buaian bayi berbuai dengan sendiri sering dikaitkan manusia berkongsi rumah dengan orang bunian. Orang bunian juga dikatakan gemar meminjam buaian yang terletak di halaman rumah manusia sekiranya petempatan mereka berdekatan dengan perkampungan manusia.

Kejadian perempuan yang kehilangan janin (bayi) dalam rahim semasa hamil ketika sedang tidur turut dikaitkan dengan bunian mengambil bayi dalam kandungan. Sebelum kehilangan itu disedari, mereka mendakwa bermimpi didatangi oleh orang tua yang meminta izin supaya bayi dalam kandungan itu diserahkan kepadanya. Apabila sedar dari mimpi (terjaga) perutnya menjadi kempis secara tiba-tiba dan bayi dalam kandungan ‘disahkan’ hilang apabila diperiksa oleh doktor.

Kain baju dan selimut kepunyaan manusia amat digemari oleh orang bunian dan ada juga diantara mereka yang sanggup mengambilnya. Sekiranya mereka memulangkan semula barang-barang tersebut, pakaian dan kain selimut akan berbau sangat busuk sekalipun dicuci berulangkali, bau tersebut tidak akan hilang. Sehingga kini, tiada siapa tahu kenapa orang bunian suka pada pakaian dan selimut manusia.





Alam bunian sememangnya alam yang penuh dengan misteri

Ada pendapat yang mengatakan bahawa segelintir bunian yang mempelajari ilmu tertentu mampu menzahirkan diri sebagai manusia biasa begitu juga manusia yang memiliki ilmu tertentu untuk melihat atau memasuki alam kehidupan bunian. Pendapat yang mengatakan segelintir kanak-kanak mampu melihat alam bunian adalah disebabkan mereka masih suci dari sebarang noda dan dosa. Perkara ini disangkal sesetengah pihak kerana mendakwa tubuh kanak-kanak itu telah ‘ditumpangi’ bunian sehingga mereka mampu melihat alam bunian.

Alam bunian dikatakan amat tenang dan cuacanya sentiasa redup. Peredaran masa di alam bunian dikatakan amat berlainan dengan dunia sebenar. Sehari di alam bunian bersamaan seminggu, sebulan atau sepuluh tahun di alam manusia. Seringkali terjadi, apabila seseorang itu dibawa masuk ke alam bunian untuk beberapa lama dan kemudian kembali ke alam nyata, banyak perubahan telah berlaku akibat perbezaan peredaran masa tersebut.

Terdapat juga lelaki atau wanita yang dikatakan berkahwin dengan bunian sehingga beranak pinak. Ada juga yang mengikut pasangannya tinggal di alam bunian dan ada juga yang terus menetap di alam nyata. Namun hanya orang yang berkahwin dengan orang bunian sahaja yang dapat melihat pasangan serta anak-anak hasil perkahwinan itu. Manusia lain hanya dapat mendengar buaian atau senda gurauan mereka dari luar rumah. Manusia yang berkahwin dengan orang bunian dipercayai ada dikurniakan kuasa ajaib. Kononnya jika seseorang manusia yang tinggal dengan orang bunian, dia tidak dibenarkan balik ke alam biasa (alam manusia). Begitulah adanya.

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI