kisah hantu raya



Dulu-dulu, Mungkin kita  sering mendengar perihal hantu raya yang dibela oleh seseorang, biasanya orang yang kaya dan banyak harta, tujuan membelanya adalah untuk menjaga harta bendanya. Kali ini, Sejagat ingin menceritakan sedikit perihal hantu raya di bawah Subjek Paranormal.

Hantu raya dikatakan berasal dari kematian seorang wanita yang mengidam daging kijang putih. Dia kecewa serta kesal kerana menjadi punca penyebab kehilangan suaminya di hutan tebal ketika cuba memenuhi kehendaknya yang mengidamkan daging binatang tersebut.

Terdapat beberapa tujuan seseorang itu membela hantu raya. Antaranya seperti menjaga diri, keluarga, harta benda, binatang ternakan dan hasil tanaman daripada diganggu atau dicuri. Kononnya hantu raya mampu melakukan tugas-tugas berat serta dikatakan mempunyai kekuatan setanding sepuluh orang manusia dewasa.

Sesiapa yang memelihara hantu tersebut juga dipercayai ‘kebal’ dari serangan musuh. Ia juga dikatakan dapat menjadikan pemiliknya kaya. Ini kerana dipercayai bahawa hantu raya akan membuat kerja-kerja yang disuruh oleh tuannya.

Hasil kerja hantu ini mendatangkan pulangan yang banyak kepada tuannya. Pemeliharaan ini digelar ‘saka’. Hantu raya perlu diwarisi oleh anak atau cucu si pemelihara apabila dia sudah mati.

Seperti hantu bajang, kononnya jika hantu raya ini tidak diturunkan kepada waris, pemilik hantu itu akan menjadi seperti bangkai bernyawa kerana gagal menghembuskan nafas terakhir.

Hantu ini boleh menyamar sebagai tuannya sehingga sesiapa sahaja akan tertipu dengan penyamarannya itu. Jika pemiliknya gagal ‘menurunkan’ hantu raya ini kepada warisnya, dipercayai setelah kematian tuannya, ia akan muncul dan menjelmakan diri menyerupai tuannya tersebut. Ia seolah-olah mengambil alih tugas, rutin harian serta kewajiban tuannya di dalam rumah berkenaan. Terdapat banyak pendapat mengenai rupabentuk hantu raya. Kebiasaannya hantu ini akan menjelma di dalam bentuk sebuah lembaga hitam atau menyerupai manusia. Kadangkala ia akan menyerupai wajah serta bentuk tubuh tuannya.

Hantu ini dikatakan mampu mematahkan pohon yang besar dan mampu menjelmakan diri ke bentuk seekor kuda serta boleh ghaib dalam sekelip mata. Ia akan menjadi lebih liar jika tidak diberi makan dengan betul. Apabila perkara ini berlaku, ia akan merasuk ke badan orang yang lemah atau sedang menderita sakit. Kesannya, orang yang dirasuk itu akan terjerit-jerit meminta makanan.

Ada juga versi yang mengatakan hantu raya gemar mengetuk pintu-pintu rumah pada waktu malam.

Hantu raya yang dikawal haruslah diberi sajian seperti yang telah dipersetujui. Antara sajian utamanya adalah seperti telur, ayam panggang, pulut kuning dan hendaklah diletakkan dalam ancak. Dikatakan hantu raya akan mengamuk sekiranya janji tidak ditepati dan tidak dijaga dengan baik.

Kononnya untuk mendapatkan khidmat atau memiliki hantu raya, beberapa persediaan dan upacara harus dilakukan. Masukkan setitik darah dari jari kelingking tangan kiri ke dalam sebiji telur yang ditebuk dengan menggunakan jarum. Pulut kuning, rokok daun dan nasi dimasukkan di dalam ancak dan diletakkan di sebuah busut jantan yang jauh daripada manusia pada waktu malam. Mantera dibawah ini dikatakan mantera yang selalu digunakan oleh pemilik hantu raya.

Hai si hantu raya
Jembalang angin
Aku tahu asalmu
Engkau dari bulu hidung Nabi Adam
Makanan engkau telur ayam
Mari engkau
Mari makan benda-benda ini

Hei si hantu raya
Mari kau bersahabat

Mari menjaga diriku
Engkau taat perintahku
Ikut segala perintahku

Hei si hantu raya
Menyerupa engkau serupa aku
Menyerupa engkau dalam diriku
Jangan engkau langgar perintahku
Jikalau engkau engkar
Aku panah engkau
Dengan panah berpanah
Panah sakti
Panah arjuna

Mantera dan penyediaan hendaklah dilakukan selama tiga hari berturut-turut. Dikatakan malam terakhir adalah penentu segalanya. Kadang-kadang makhluk ini dipercayai akan menjelma dalam keadaan yang berbalam-balam di atas jamuan yang disajikan. Sekiranya makhluk itu muncul, hendaklah disuarakan hasrat hati dan harus berjanji untuk menyediakan makanan bagi tempoh tertentu sekiranya makhluk bersedia untuk berkhidmat.

Sekiranya ibu jari kaki ataupun ibu jari tangan merasa sejuk, ini bermakna kononnya makhluk tersebut sedang meresapi tubuh.

Resapan ini berlaku dalam jangkamasa yang singkat dan akan pulih semula apabila makhluk tersebut keluar dari badan. Ini menandakan hubungan diantara hantu raya sudahpun terjalin dan ia akan ikut pulang ke rumah.

Hantu raya hanya akan menurut perintah apabila ia dijamu sahaja. Sajian yang telah dipersetujui haruslah disediakan sebelum disuruh untuk melakukan sebarang tugas. Jampi dan pembakaran kemenyan harus dibacakan terlebih dahulu supaya ia segera menjelma dan menerima arahan yang diberikan. Rangkaian kata yang dituturkan ketika memanggil hantu raya inilah yang disebut sebagai ‘panggilan’ atau ‘pemujaan’.

Hantu raya dikatakan sentiasa bersedia untuk berkhidmat sekiranya dipanggil. Mantera di bawah dikatakan menjadi mantera yang biasa diungkapkan setiap kali si pembela hantu raya hendak keluar ke rumah.

Hai anakku si hantu raya
Engkau bersiap-siap
Aku hendak jalan

Atas engkaulah menjaga diriku
Jangan engkau derhaka kepada aku
Derhaka engkau pada Muhammad
Derhaka engkau pada Allah

Untuk membinasakan musuh pula, mantera sebegini kononnya harus dibaca dihadapan tingkap rumah yang terbuka sewaktu matahari tenggelam.

Hei anakku si hantu raya
Engkau rusuk sianu
(dengan menyebut nama mangsa beserta nama ibunya)
Engkau makan hati perut dia

Jikalau engkau tidak pergi
Aku sumpah engkau
Derhaka engkau pada Allah
Derhaka engkau pada Muhammad
Derhaka engkau pada aku

Mantera dibawah pula dikatakan sebagai pendinding yang berkesan daripada gangguan hantu raya.

Hai hantu raya
hantu besar
pulanglah kau ke dalam hutan
aku tahu asal usulmu
Dengan bibir bawahmu yang mencecah hingga ke dada

Selain itu, terdapat juga beberapa versi lain tentang cara untuk ‘mengambil’ atau ‘mendapatkan’ hantu raya menurut kepercayaan masyarakat Melayu lama. Mereka yang berminat ‘membela’ hantu raya perlu menyediakan ‘jamuan’ berupa bertih goreng, telur daripada ayam berbulu hitam, pulut kuning, tujuh warna benang dan cermin bersaiz tertentu.

Setelah semua barang keperluan itu disediakan, mereka perlu mencari satu kawasan tanah lapang di tengah hutan. Di situ mereka akan meletakkan semua sajian di depan sambil duduk mengadap cermin dengan membawa mantera tertentu.

Menurut kepercayaan lama, hantu rayaakan muncul (keluar) melalui cermin dengan menyerupai wajah orang yang membaca mantera itu. Mereka perlu mengamalkan ‘petua-petua’ itu diantara satu hari sehingga tiga hari untuk ‘memanggil’ hantu raya. Jika gagal, mereka perlu melakukan semula dengan menyediakan ‘sajian’ baru. Setiap sajian yang disediakan boleh digunakan sekali saja.

Versi lain pula mengatakan, selain menyerupai rupa bentuk tuannya, hantu raya dalam keadaan asal ialah bertubuh manusia yang berbulu dan kepala menyerupai ‘kepala kerbau jantan’. Bentuk ini ‘sesuai’ dengan ciri-ciri hantu raya yang dapat melakukan kerja-kerja membersih kawasan hutan, bertani, melakukan kerja-kerja ladang dengan ‘mengambilalih’ tugas tuannya.

(Amaran KERAS dari DIARI BERBICARA – DIARI BERBICARA MELARANG sesiapa sahaja mengamalkan mantera ini, kalau degil nak amalkan juga, anda TANGGUNG SENDIRI AKIBATNYA ! Sila cari GURU MURSYID kalau nak belajar ilmu persilatan/ilmu kerohanian jalan yang benar, bukan guru ilmu hitam dan seumpama dengannya, syirik adalah DOSA BESAR yang tak diampuni Allah SWT)

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI