payung mewah



KOLEKSI payung Heurtault dijual pada harga serendah RM2,150 bagi lelaki dan RM1,100 untuk wanita.




SERING rosak dan hilang, payung biasanya tidak dilihat sebagai barangan mewah. Bagaimanapun anggapan tersebut tidak semestinya benar. Lebih-lebih lagi bagi seorang warga Perancis, Michel Heurtault, apabila payung rekaannya dijual pada harga ribuan euro.


Artisan berusia 48 tahun itu hanya menggunakan material terbaik untuk payung dan parasol yang direka tahan lama dan diwarisi dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Meskipun mahal, premis Heurtault di Paris manarik pelanggan dari serata dunia. Seorang puteri dari Qatar memilih pemegang payung yang dibalut dengan shagreen iaitu sejenis kulit pada kos lebih daripada 8,000 euro (RM35,000).

"Ia merupakan mainan kegemaran saya sejak kecil. Saya terpesona dengannya, ibu saya beranggapan ia sangat aneh," katanya mengimbas zaman kanak-kanaknya tatkala dia menceraikan dua kaki payung untuk menggabungkannya semula menjadi satu.

Heurtault memulakan perniagaannya sejak tahun 2008, namun sebahagian daripada peralatan yang digunakannya berusia lebih 100 tahun. Lokasi premisnya juga istimewa, ia terletak di salah satu daripada lingkungan abad ke-19 iaitu di bawah jejambat landasan kereta api lama di bahagian timur Paris yang banyak menempatkan kedai-kedai milik artis berkemahiran.

"Kesemua payung itu dihasilkan di China," katanya sambil memerhatikan pejalan kaki melintasi premisnya pada suatu hari yang lembap pada musim luruh.

"Di sini, semuanya dibuat menggunakan tangan, ia unik," jelas Heurtault yang turut membaiki dan mencipta payung untuk industri perfileman.

Rakan perniagaan Heurtault, Jean-Yves Thibert berkata, warga Australia dan Jepun menggilai parasol manakala payung memiliki pengikut tersendiri di Amerika Syarikat dan Eropah, terutamanya Austria dan Jerman.

Bagi wanita, item termurah di premis Heurtault dijual pada harga 250 euro (RM1,100). Payung itu diperbuat daripada sutera dengan pemegang bersalut kulit. Bagi lelaki pula, payung dijual pada harga serendah 490 euro (RM2,150) yang diperbuat daripada twil sutera dan pemegangnya daripada kayu mapel.

"Anda tidak akan menjumpai kemasan yang sama di tempat lain," kata Thibert.

Heurtault kecewa dengan apa yang dilihatnya hari ini sebagai budaya pakai buang.
"Benda menjadi semakin murah, ia tidak tahan lama, mudah rosak dan dibuang. Payung kami dihasilkan untuk tahan selama beberapa generasi.

"Pada tahun 1950-an, orang tidak kehilangan payung, mereka menjaganya dengan baik. Hari ini seorang gadis membeli payung pada harga 10 euro (RM43). Sudah tentu payung itu tidak tahan lama," katanya.

SETIAP rekaan payung Heurtault menggunakan bahan berkualiti tinggi dan mampu bertahan untuk beberapa generasi.

Heurtault melakukan perkara yang berbeza. Pelanggan boleh membeli payung yang ditempah khas, memilih pemegang, fabrik, corak dan material.

"Inilah kemewahan sebenar, ia tidak sama," kata Thibert sambil menunjukkan koleksi pemegang payung antik yang diambil dari seluruh Perancis. Salah satunya diperbuat daripada gading bertatahkan mutiara.

Heurtault turut memberi perkhidmatan untuk industri perfileman. Baru-baru ini dia menghasilkan parasol yang digunakan dalam kisah Cinderella versi filem yang dibintangi Cate Blanchett dan Woody Allen. Penggambarannya dilakukan di Cote D'Azur, Perancis.

"Pembekal kostum bagi filem-filem berlatar belakang zaman dahulu mencari saya sebab mereka tidak mempunyai pilihan lain. Kaedah tradisional untuk menghasilkan payung telah lama hilang," jelas

Heurtault yang turut memulakan kerjayanya sebagai pembekal kostum dan pernah bekerja untuk opera dan menghasilkan korset untuk Christian Dior.

Heurtault turut dinamakan sebagai Master of Art baru-baru ini iaitu satu pengiktirafan yang diberikan oleh Perancis untuk artisan profesional dan berkemahiran tinggi.

"Ia merupakan pengiktirafan tertinggi bagi seorang artisan. Saya melihatnya sebagai satu kenaikan taraf berasaskan merit,"katanya bangga

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI