penjenayah siber guna pautan web palsu jebak mangsa



PERNAHKAH anda menjadi mangsa jenayah siber? Jika tidak, tahukah anda bahawa risiko menjadi mangsa adalah sangat tinggi kerana maklumat peribadi anda dapat dicuri dengan hanya keterlanjuran satu klik.

Jenayah siber bukan satu perkara asing dalam dunia internet tanpa sempadan dan ia tergolong sebagai satu bentuk jenayah terancang. Dianggarkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada AS$70 trilion (RM225 trilion) bagi jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar di seluruh dunia berjaya digelapkan oleh sindiket tersebut.

Peratusan itu bersamaan dengan nilai RM2.25 trilion yang datang daripada penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, jenayah wang, penipuan internet dan jenayah siber. Nilai tersebut setara dengan jumlah hutang kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi tahun 2014.

Dengan jumlah itu juga, kira-kira 14 juta rumah yang bernilai purata RM500,000 boleh dibeli.

Kira-kira hampir tiga tahun lalu, akhbar tempatan melaporkan bahawa seorang eksekutif swasta terkilan apabila wang simpanannya sebanyak RM3,000 dilesapkan selepas dia diminta mengemas kini maklumat akaunnya di laman web rasmi bank berkenaan.



Wanita itu sama sekali tidak menyangka peristiwa tersebut boleh berlaku kerana sering membuat transaksi bank melalui internet tetapi tidak pernah mengalami masalah sebegitu.

Dia mendakwa telah diminta untuk mengemas kini maklumat akaunnya yang dibuka pada tahun 2006 bagi memeriksa baki wang.

“Dua hari selepas itu, saya buka akaun dan alangkah terkejutnya apabila mendapati baki wang hanya tinggal RM42.57 sedangkan sebelum ini jumlahnya adalah RM3,042.57,” luahnya.

Semakan yang dibuat mendapati wang tersebut telah dipindah ke akaun milik seorang wanita lain pada hari kemas kini dibuat.

Kes seumpama itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kerana kelicikan penjenayah siber sememangnya mampu mengaburi mata orang awam. Ini kerana mereka berkebolehan membina laman web bank yang seratus peratus sama dengan laman web rasmi.

Jenayah siber dilihat sebagai suatu cabaran yang tidak akan berkesudahan kerana hampir tiga bilion ancaman internet terpaksa dihadapi pada setiap hari.

Namun, penjenayah siber juga mengeluarkan pelaburan untuk melakukan penipuan. Terdapat juga pakej penghantaran sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) pukal secara rawak kepada pemilik telefon bimbit untuk menjerat mereka yang mudah terpedaya.

Sebagai  contoh pakej khidmat spam melalui SMS bagi 5,000 pesanan yang ditawarkan pada harga serendah RMB300 (RM156) oleh penjenayah siber di China.

Kebiasannya SMS ini memberitahu mangsa kononnya kata kunci akaun bank mereka akan tamat dan perlu diperbaharui segera,” menurut satu daripada SMS palsu yang kelihatan sungguh meyakinkan mangsa.

Jika anda pernah menerima e-mel atau SMS seumpama ini, jangan cepat terpedaya, namun sebaiknya ambil langkah berhati-hati dengan menghubungi pihak berkaitan untuk mengesahkan maklumat yang diterima.

Penjenayah siber turut membangunkan platform yang kelihatan benar-benar sah untuk memperdaya mangsa, sekali gus mencuri segala butiran peribadi mereka.

Namun begitu, apakah maksud sebenar jenayah siber? Ia merangkumi segala perbuatan jenayah yang berkaitan dengan komputer dan rangkaian melalui kaedah penggodaman.

Antara jenis jenayah siber adalah tele-pemasaran, penipuan internet, kecurian identiti, kecurian akaun dan transaksi kad kredit yang menggunakan rangkaian komputer.

Kebocoran maklumat seperti alamat e-mel kebiasaannya diperoleh pihak ketiga daripada pihak tidak bertanggungjawab dan ia dijual pada harga tertentu.




TELEFON PINTAR semakin menjadi sasaran serangan perisian palsu, sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko jenayah siber.

Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah lain yang digunakan untuk mendapatkan alamat e-mel pengguna. Antaranya, pendaftaran dalam mana-mana forum perbincangan dan laman sosial.

Pengguna yang menerima mesej meragukan dinasihatkan agar menyemak alamat pautan yang diberikan di laman web perkhidmatan reputasi seperti Norton, Trend Micro dan Scanurl terlebih dahulu bagi mengetahui sama ada ia selamat atau tidak.

Bagaimanapun, sekiranya penipuan tetap berlaku, mangsa perlu melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa biarpun usaha menjejaki sindiket jenayah siber bukan mudah.

Lazimnya, pihak bank tidak akan menghantar e-mel mengenai perkara yang membabitkan hal serius seperti penukaran kata laluan atau kemas kini akaun pelanggan. Jangan teragak-agak untuk menghubungi pihak bank jika anda mahu kepastian.

Pengguna yang pernah mengalami kecurian telefon bimbit pula perlu melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa agar pencuri tidak mengambil kesempatan terhadap kenalan lain.

Pernah dahulu  ada seseorang pernah membuat transaksi atas talian untuk meminjamkan wang kepada seorang kenalannya  setelah menerima SMS daripadanya. Ketika itu beliau  memang tidak syak apa-apa kerana gaya bahasa yang digunakan memang mirip kenalannya  itu.

Selepas beberapa hari, beliau  menghubungi kenalannya  dan memaklumkan tentang transaksi tersebut, namun dia terkejut kerana tidak pernah memintanya  berbuat demikian. Kemudian, dia memaklumkan bahawa telefon bimbitnya telah hilang.

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI