cinta untuk gadis ku bernama suraya



Aku membuka diariku. Rindukan kepada gadisku itu memaksaku melihat tarikh lalu, tarikh terakhir aku mendengar suara manjanya.Satu Disember. Hari ini Selasa, 10 Disember. Sudah sepuluh hari lamanya, dia tidak menghubungi aku. Sakitkah dia? Sibuk sangatkah dia?

Hati lelakiku ini tertanya dan berteka sendirian. Dia tidak pernah bertindak begini. Paling lama dia tidak menghubungiku hanyalah sembilan hari sahaja, itupun kerana dia ke Bali, katanya bercuti bersama teman karibnya, Masita. Kesibukan di percutian indah itu hanya mengizinkan dia menghantar sms beberapa kali sahaja.Menekan nombor di talipon genggamku, mencuba mendail nombor gadisku.

Tapi, Ah! Kenapa mesti aku menghubunginya. Apa yang harus aku katakan padanya. Nyatakan rinduku! Mungkin sms, bertanya khabar? Tapi, Ah, tidak mungkin.Aku harus bertahankan egoku, jika aku menghubungi dia, aku akan kalah dengan perasaanku.

Biarlah rinduku ini menyiksaku. Biarkan.Biarkan. Aku sanggup menunggu sehingga rinduku padanya menjerat hatiku. Biarkanlah. 20 Disember Haripun berlalu lagi.Sudah 20 hari pantas berlari. Dua puluh hari tanpa gadisku, aku lalui hari-hari yang panjang dan membosankan. Aku rindu cerita lucunya, sememangnya dia seorang happy go lucky. Setiap ceritanya pasti ada adegan lucunya. Benar seperti yang diucapkannya dulu, kalau tiada humorous, dunia akan sepi, sesepi rasa petangku ini. Sesepi hari-hari yang lalu. Pintu tutorku diketuk bertalu. Pasti Azhar, paling tidak, dia akan mengajakku bermain tennis.

Pintu dibuka. "Surprise",dia bersuara, lagaknya bersahaja. Terasa dadaku bergoncang, kencang. Mulutku bagaikan terkunci.Mati di situ. Suraya, gadisku itu sudah berdiri di hadapanku. Baju kurung berbunga kecil pastel, sulamannya bunga mawar merah, berlatarkan pula warna hijau serindit, cukup padan dengan tubuh tinggi lampainya. Kulitnya yang putih kemerahan tampak hidup dengan warna hijau kegemarannya. Apatah lagi digayakan dengan tudung kuning air, tampak lembut.

Pipinya dialit pemerah merah jambu, bibirnya dengan warna senada, cantik! Itulah perkataan pertama padanya.Sayangnya, hanya dalam hatiku. Dia kelihatan amat ayu. Ingin benar aku lepaskan pujian itu, bagaimanapun, seperti selalu, Semua terkunci dalam sanubariku. Yang pasti, ingin aku ucapkan terima kasih Tuhan. Doaku sudah termahbul. " Hai, tak jemput saya masukkah?, permintaanya buat aku gelisah. Bodoh benar aku ini, membiarkan saja, Su di pintu bilikku. Berhadapan dengan Su menjadikan aku lupa kepenatan hari-hariku. Ingin rasanya aku bertanyakan pada Su, kenapa lama dia menghilang. Rindukah dia padaku? Tapi, bodoh rasanya melahirkan persoalan itu daripada mulut seorang lelaki, akal mesti mengatasi perasaan jika mahu dipandang bijaksana. " You, tak mahu tahu mana Su menghilang selama ini?", wajahnya kelihatan agak kebingungan.

Wajah ceria gadisku ini bertukar gusar. " Yes, sure", aku menjawab cepat. Segera aku meminta maaf. Bukan niatku untuk tidak bertanya khabar, helahku, kesibukan menjadikan masa berlari pantas, tidakku sedar, kami sudah lama tidak berhubungan. Bicara lembutnya menjawab segala persoalan di kalbu lelakiku. Sesekali aku menyampuk, menunjukkan persaan ingin tahuku kepadanya.

Banyak yang kami bualkan,Dari kisah percutiannya ke Beijing hingga ke cerita warga negara yang patut dibanggakan, memanjat hingga ke Puncak Everest. Cuma satu cerita yang tidak diendahkan, cerita tentang kami.Wujudkah cerita tentang kami? Sesekali tertanya diri sendiri? Antara 'cinta, sayang dan kasih', yang mana satu Suraya simpankan untukku? " Su ingat you akan hubungi Su .Ialah, lama juga kita tidak bertukar berita. Hampir tiga minggu, tapi rupanya hanya Su saja yang bermimpi, penat menyimpan rindu sendiri ", ucapnya perlahan.

Dia tiba-tiba bertukar cerita. Telingaku sempat menyambar kalimat terakhir itu. Tergamam sesaat. Tidak tahu ucapan terbaik untuk membalas ulasan rindu darinya. " Are you saying something just now?", entah bagaimana kalimat itu lahir dari mulutku, menutup resah yang menjengah hati. Aku melihat dia menggeleng. Terlihat wajah kecewa di wajah bujur sirehnya. Actually, feel like missing something for the last three weeks…, ah! bermonolog sendiri lagi.

Kupandang sahaja wajahnya, telus ke dalam sepasang anak mata hitamnya, terpancar cahaya, seolah ada cahaya rembulan penuh pada matanya. Dalam matanya tersembunyi cerita yang seolah tidak ada kesedihan, dan penamatnya tentulah bahagia Cuma. " I got to go,kita belum asar lagikan? ", katanya lembut, menunjuk ke jam di dinding.Aku melihat jam. Sudah tiga jam rupanya kami berbual.

Masa yang berlari bagai cemburu menyaksikan kami berdua, bersama. Ingin aku berdoa agar masa terhenti supaya gadisku ini tidak akan pergi jauh dariku. Ini impianku, doaku.Tapi, aku sedar, ada impian yang Allah akan simpan untuk dimahbulkan di akhirat. Rahsia diriku menjadikan ada tembok besar yang akan memisahkan kami. Itu yang pasti. " See you around", sambil mengiringi dia keluar dari bilik tutorku.Wangian seolah wangian Jasmine masih berlegar di ruang bilikku. Aku pasti, haruman yang dipakai Su adalah Today , sama seperti yang sering dipakai kak Intan, kakak iparku. Pack sederhana besar yang ditinggalkan Su kubuka.Chocolate Cake, perasa coklat Cadbury, kegemaranku. Terima kasih gadisku. Dan…Ah! sepatutnya dia kuajak keluar minum sebagai tanda terima kasih.

Aku ini barangkali bukan lelaki gentleman. Aku berharap aku tidak akan lupa janjiku ini bila berkesempatan bertemu Su lagi. Malangnya, bila tiba saat itu, pasti ada sahaja halangannya. Suraya kupelawa keluar makan malam bersama buat kali pertama.Akan aku bentangkan kisah dukaku kepadanya. Biar dia tahu, ada pemisah besar antara aku dan dia untuk bersama.

Dia kuharap akan menerimanya tanpa banyak bicara. Entah mengapa, segala rencanaku terbeku sendiri. Mengajak Su keluar bersama kelihatan mudah tapi memujuk hati untuk melupakan keindahan malam itu, apatah lagi diterangi rembulan mengambang, cerah, indah dan damai,amat payah. Bagai dirancang, pakaian kami senada, biru. Biru laut yang dipakai Su bagai melekat hangat di ingatanku.

Wajah tanpa solekan tebal tetap menyerlahkan keanggunan Su.Suraya yang banyak tersenyum dari berkata telah menyulitkan misi lelakiku. Bibirku seakan terkunci, mati. Sukar untukku sampaikan kepada Suraya tentang cerita dukaku yang kusimpan lama, bernanar di hatiku sendiri. . Benarlah kita ini hanya manusia, bersifat lemah dan hanya merancang. Memandang pada bibir yang menguntum senyumnya, membuatku rasa berdosa bagi mencemarkan malam ini dengan cerita duka. Aku dan dia, Cinta tidak akan sampai ke penghujungnya antara kami.

Kesudahannya Su pasti akan kecewa. Noktah.. Tayangan 'Cinta' yang kami tonton benar-benar menyentuh perasaan lelakiku. Kalau tidak kerana Su yang berada di sebelahku, air mata lelakiku pasti tumpah. Benarlah, ' Cinta' bermakna membiarkan yang dicinta pergi mencari bahagia. Sanggupkan aku biarkan Su pergi? Jika aku keberatan, bermakna aku tidak cintakan Suraya. Jika diukur pada 'mandiku' yang tidak lagi basah, 'makanku' yang tidak lagi kenyang, dan 'tidurku' yang tidak lagi lena, bukankah itu cinta namanya.

Siang malamku, ingatanku menerjah ke dalam wajah Su. Hanya rindu padanya. Benarlah kata-kata dailog 'Cinta', 'isteri bukannya hak milik tetapi anugerah.' Aku ingin sekali Su menjadi anugerah kepadaku, seperti lengkapnya hidup Adam yang Tuhan anugerahkan Hawa, tapi aku tidak berupaya. Dan sesudahnya, pertemuan ini bukan menamatkan cerita kami. Entah di mana silapnya, aku terlanjur mengakui aku amat menyenangi Su.

Biarpun tiada kata cinta secara pasti, aku rasa,hati Suraya sudah tersentuh.Entah mengapa, aku sudah melakukan kesilapan. Dan penamat pertemuan indah, kulihat senyuman yang paling manis dari Suraya, ketika dia, ku hantar di depan pagar rumah sewanya. Terasa bagai berdosa memulakan cerita asmara ini, wahal aku tahu kesudahan cerita realiti ini.

Ini bukan cerita dongeng mahupun lagenda, seperti yang tercatat, penamatnya semuanya bahagia.Berdosakah aku nanti? Mengenangi pertemuan tadi, berpakaian sepasang warna biru, kegemaranku, sebiru ingatanku yang tidak pernah padam tentang pertemuan itu. Semalam bersama Su, bagai menghidupkan seribu malam yang syahdu. Kutatap gambar Suraya yang kusimpan dalam laciku.Masterpieceku ini sering buat hati lelakiku ini serba tidak kena.

Mungkin aku sepatutnya berterus terang dengan Suraya. Kejadian di London beberapa tahun lepas. Farid, sahabatku yang meninggal di tempat kejadian. Zara, buah hatiku yang turut terkorban.Pemergian mereka dalam kemalangan ngeri itu benar-benar mengecewakan aku. Zara, gadis dari utara yang aku kenali sejak A-Level di Kuantan itu sering datang dalam mimpiku.

Cuma, aku tidak ingin Zara tahu aku menyimpan perasaan kepadanya. Ingin sekali aku lamar Zara di hari akhir pengajian kami. Biarkan hari akhir pengajian itu menjadi hari bersejarah untuk kami, malangnya, rencana Allah mendahului rencanaku. Kemalangan itu meninggalkan titik hitam dalam hidupku juga.Kenyataan inilah yang membuatku separuh nanar jadinya.

Sudah puasku jelajahi tiga benua untuk mengubati ketidak sempurnaan lelakku ini, tapi Allah masih belum mengizinkannya. Berkahwin dengan Suraya, hanya akan menyiksanya. Kami tidak akan punyai keturunan. Barangkali membiarkan Su jatuh cinta denganku sudahpun menjadi satu dosa, apatah lagi mengikatnya dengan ikatan perkahwinan, seumur hidupnya, merantainya dengan duka.Aku tidak akan sanggup melakukannya. Tidak untuk Suraya. Entah apa alasan untuk aku nyatakan kepada Su, supaya dia pergi.Yang aku pasti, Su tidak akan semudah itu akan meninggalkan aku.

Dia bisa melakukannya, bertahun dulu, jika dia mahu. Tersenyum sendirian, mengingati hari pertama kali kami bertemu.Suraya berbaju kurung, warna merah manggis, sepadan benar dengan kulitnya. Bilik tutorku menjadi saksi pertemuan kami.Wajah mulus Su, lebih banyak tersenyum dari berbicara. Sesekali terpandang wajah ayunya, tak kala sinar mata bertemu, wajah Su kemerahan.

Gadis yang kusangka berani, romantis itu rupanya pemalu. Di pipi kananya yang gebu, sebutir tahi lalat menjerjah ingatanku kepadanya sehingga saat ini. Pertemuan dengan Suraya hanya diatur setelah lama dia membiarkan aku berteka-teki sendirian. Enam bulan lamanya dia membuatkan aku resah, gelisah. Su sering menghantar kad-kad dan nota ke bilik tutorku. Coretan tanpa identiti hanya buatku kebingungan. Siapa gerangan yang sudah 'jatuh hati' kepadaku.Atau Cuma ada 'gadis nakal' yang sengaja mahu memperolokkanku.

Pernah aku Cuma memerangkap misteri pengirim tersebut, memadamkan lampu, menunggu penuh debaran di petang Jumaat, memandangkan notanya hanya diletak pada petang Jumaat. Dia rupanya bertindak bijak dari disangka.Dia tidak tiba petang itu, sebaliknya ketika kembalinya aku dari bermesyuarat di ibu pejabat tengahhari Sabtu , pada ketika itu, titipannya dapat kutemui di pintu. Tulisannya, ringkas tapi kemas. Aku membayangkan tuan penanya ini pasti juga hebat.Hati lelakiku ini mendesak aku untuk bertemu dengannya. Tapi bagaimana? Kad tanpa nama? Empunya kad akhirnya menulis nama. Suraya.

Merenung panjang, mengingat senarai panjang bekas pelajar di tahun satu, barangkali tahun dua yang pernah menjadi pelajarku. Tidak dapat aku pastikan, mungkin dia bekas pelajarku? Dia memintaku membalas kadnya sekiranya sudi bertemunya. Pastinya, tidak salah untuk bertemu.Seperti kata pujangga Inggeris lama ,'I have nothing to lose'. Deringan telefon mengejutkan aku. Jauh sekali imbauan kenangku.

Suara manja Su cepat menangkap di telingaku. " Happy Birthday to me! nyanyiannya yang berentak perlahan bagaikan menyentak jantungku. " Ohh! ,hanya perkataan itu dapat kuucapkan, menyatakan kekesalanku. Mataku cepat menyambar kalender di dinding, 11 November. Birthday Su.Masakan aku boleh terlupa, lagi, buat kali kelima. "So, happy birthday Su.Sorry, I terlupa lagi." "Tak kisahlah Zaid. Dah tahu you akan lupa. Itukan sebahagian daripada proses naturalisasi manusia.

Sebabnya, mungkin petanda sudah tua", tertengar ketawanya berderai. Bijak benar gadisku ini mengenakan aku.Paling aneh, dia agak un-predictable. Aku kira, kalau gadis lain di tempat Su,pastinya akan merajuk panjang kalau 'buah hati'terlupa hari-hari istimewa. Sebaliknya, Su mentertawakan aku pula. Entah berapa kali aku meminta maaf atas kealpaan aku ini.

Tapi kata Su, dia tidak kisahpun.Hari ulangtahun kata Su, hanya mengingatkan dia dengan rahmat Ilahi, mengurniakan umur yang lebih panjang. Semoga dengan Rahmah Allah, akan digunakan untuk mengingatiNya sebaik mungkin. Cuma, kata Su, satu permintaannya, hadiahkanlah dia sehelai selendang sutera, supaya memori kami, dapat melekat di hati, kekal sehingga akhir nanti. Namun aku keliru, di hujung katanya tadi , Su tertawa kecil. benarkah permintaan Su?

Memilih selendang sutera sebagai hadiah tidaklah sesukar mana. Wajah mulus putih kemerahan Su mudah dipadankan dengan jua warna. Pilihanku, hijau pucuk pisang. Terbayang kata Su, warna kegemarannya hijau. Kehijauan kata Su, sinonim kepada banyak perkara .Hijau alam, bawa ketenangan.Hijau daun, bermaksud kehidupan. Yang lucunya, sambung Su, jangan 'hijau' dalam bercinta, payah.Dan Su akan ketawa. Ketawanya membawa keriangan.

Aku pasti Su akan tersenyum menguntum melihat selendang sutera hijauku ini.Biarlah, untuk kesekian kalinya, aku akan memenuhi permintaan kecilnya.Aku nekad. Akan aku ceritakan segalanya kepada Su. Aku akan lepaskan Su pergi.Aku tahu, hati lelakiku ini tidak akan sanggup membiarkan Su pergi. Hatiku akan menangis, melara,melihat Su pergi.

Kata pujangga Melayu, lelaki Melayu yang gagah tidak akan menangis kerana seorang perempuan. Tapi, Lelaki gagah seperti Hang Tuah juga menumpahkan airmatanya demi ratu hatinya. Aku bukanlah wira Melayu yang gagah itu biarpun cintaku seagung cinta Hang Tuah dan Puterinya, Ajeng Ratna Dumilah. Biarkan Suraya pergi, sebelum luka hatinya akan lebih mendalam lagi. Berminggu aku berfikir,menyediakan diriku untuk berhadapan dengan Suraya. Aku harus kuat. Semangatku harus cekal. Rasullullah sendiri pernah bersabda, ' Mukmin yang kuat lebih baik daripada mukmin yang lemah'.

Aku sudah bersedia.Aku akan berterus terang dengan Suraya. Situasi sudah menjadi lebih kalut. Keadaanku yang terlantar di bilik wad mematikan langkah beraniku sebagai lelaki Melayu yang gagah. Benarlah janji Allah, sebagai manusia yang kerdil, kita boleh bijak merancang, selebihnya di bawah rencana Allah.Kemalangan kecil yang aku alami menyebabkan aku terlantar di hospital. Tulang rusukku patah dan calar-calar sedikit. Dan di saat itu juga, hatiku resah.

Perasaanku berbaur.Perlukah aku memberitahu Suraya. Aku tidak ingin dia melihatku begini. Aku tidak ingin dia sedih. Tidak untuk kali ini. Wajah mak dan abah yang datang kelihatan sayu.Tidak pernah aku lihat wayah muram mereka begini. " Ala mak…baru luka-luka begini, mak sudah sedih. Bukankah anak mak ini masih bernafas lagi?" Mak mengomel panjang. Kukira, kata-kataku akan dapat melegakan kekusutan hati mak. Tapi kata-kata mak ada benarnya. Perasaan sayang antara ibu dan anak mengikat kerisauan . Mak, maafkan aku. Barangkali kalau mak mendengar cerita dukaku di London dulu, wajah mereka akan lebih suram.Demi Allah, aku tidak akan membiarkan mendung itu menutupi hidup mereka.

Biarkanlah aku yang akan menanggungnya sendiri.Pahit kelatnya sendiri. Bukankah aku ini daripada keturunan Melayu yang gagah? Suara gemersik di sisiku membuatkan jantung kencang.Bagai kukenal suara manja itu. Tapi, tidak mungkin Suraya. Barangkali, ingatanku yang sentiasa dekat dengan Su, menjadikan dia seolah sentiasa dekat di sisi.Dan, memang benar, aku tidak dapat menafikan lagi, Suraya sentiasa dekat di hati. Kali ini, tekaanku salah lagi. Suraya benar-benar berada di hadapanku.

Entah bagaimana dan bila, Suraya mendapat tahu aku di sini? Kedatangan Su tanpa pengetahuanku, memang akan menyenangkan hati. Kak Intan, iparku sempat berbisik, menjawab persoalanku. Katanya, dia yang menjawab telefon bimbitku malam tadi, ketika aku masih di bilik rawatan. Jelasnya, dia yang memberitahu Suraya, aku di wad di Hospital Puteri. Pun di hatiku tersemat perasaan curiga, sedikit gusar, kalaulah mak dan abah tercium hubungan kami. Situasi akan menjadi payah.

Kedatangan Suraya ditemani dua sahabatnya, aku harap akan menutup bau cinta asmara kami.Barangkali mak dan abah hanya akan menyangka kedatangan mereka hanya sebagai lawatan teman sepejabat.Itu yang aku harapkan. Lirik dan senyuman mak bagaimanapun agar menggusarkan aku. Aku tahu benar dengan tingkah laku mak. Jika mak senang hati, suka dengan seseorang, senyum mak akan berbunga, sesegar bunga teratai di kolam.

Sudah 32 tahun aku menjadi anak mak. Wajah mak seceria pelangi, seperti sesudah hujan turun. Mata abah pula hanya melekat kepada Suraya. Senyumannya. Kehadiran Suraya seperti membawa rahmat pada Mak dan Ayah yang sudah kelihatan sugul benar sebelum ini. Kenapa tidak, anak bujang terlajak mak ayah ini, terlantar luka, cedera. Seperti yang diduga, kedatangan lawatan Suraya menyukarkan lagi keadaan.

Siang malam di wad satu yang sempit ini, mak dan abah asyik bercerita tentangnya.Seolah-olah ada keajaiban besar sejak kedatangan Su di sini. " Mak sudah tua Zaid. Mak tahu apa bezanya yang baik dan istimewa. Insan istimewa tidak datang dua tiga kali Zaid", ujar mak bersahaja. Dalam diam, aku mengiyakan kata-kata mak. Tapi apalah dayaku mak, abah. " Apa kurangnya Suraya tu Zaid?" dan abah bersuara. Kata-kata abah memukul jantungku.Su tidak pernah ada kurangnya abah.

Anak abah ini yang barangkali tidak beruntung untuk memilikinya. Suaraku terikat dengan janji yang kubuat sendiri.Aku tidak akan sesekali mendukakan hati mak dan abah dengan berita duka di London dulu. Barangkali akan aku jelaskan apapun alasannya. Suraya terpaksa pergi dari hidup anak lelaki kesayangan mak dan abah ini. " Kalaupun Zaid tidak cintakan Suraya, takkanlah tiada sedikit rasa sayang padanya?

Cinta boleh datang kemudian, seperti mak dan abah. Kami bercinta selepas kahwin". Kata-kata mak kedengarannya lucu, walaupun rasionalnya ada. Mak ! Zaid cintakan Suraya. Itu yang pasti. Tersenyum. Berkata-kata sendiri. Lagak mak benar-benar mencabarku. Entah apa malangnya,mak dan abah sudah bertindak mendahului tindakanku. Belum sempat aku khabarkan kepada Suraya, mak sudah bertindak di hadapan. Mak menjemput Suraya ke rumah.

Kedatangan Su bersama dua lagi rakannya tidak akan berjaya menyembunyikan kisah selanjutnya.Dan apakah peristiwa selanjutnya mak, abah? Melamar Su? Diam-diam mak sudah memanggil ahli keluarga berkumpul.Aku pasti tajuk utama persidangan adalah aku dan Suraya.Tradisi keluarga ini sudah menjadi akar dan nadi dalam keluargaku.Sesuatu perkara penting akan dibincangkan bersama. Kata mak, seluruh generasi sudah berjanji, muafakat, sentiasa membawa berkat. Kata mak dan abah lagi,bila ditanya tentang kami, Su menjelaskan, kami hanyalah kawan biasa.

Tapi mak dan abah, tidak percaya. Kata mereka, mungkin Suraya malu mengakui tentang perasannnya. Tentulah, sebagai wanita Melayu tulen, penuh rasa malu dalam ruang hidupnya.Pujian mak dan abah terhadap Su, melelahkan aku.Semua ahli keluarga sebulat muafakat setuju, Su akan dilamar segera. " Mak, Su hanya menganggap Zaid teman biasa, itu sahaja.

Barangkali Su sudah ada yang punya?, aku bersuara bersahaja, kononnya untuk menyakinkan ahli sidang semua. Mak, abah dan abang hanya tersenyum sinis. kata mak, dia sudah melakukan homework terlebih dahulu.Suraya belum ada yang punya.tapi kata abah, Suraya tidak memberi kata putus. Ucapan yang menjadi penyelamatku. Putusku, aku akan berbincang dengan Su.Janjiku kepada keluarga,keputusan Su akan kukhabarkan segera.

Barangkali Suraya menunggu bicara hatiku?Barangkali? Aku boleh menarik nafas lega. Reaksi Suraya berbeza daripada apa yang aku bayangkan.Dia tenang setelah kukhabarkan cerita duka akibat kemalangan di London dulu.Suraya tenang. Sebening pagi hari minggu kami bersama. "Semua penyakit akan ada ubatnya, Zaid,kecuali maut"',itu kata Su.Bukan aku tidak ingin mengiakan segalanya Su.Akulah insan pertama yang ingin menyatakan segalanya tidak benar.Aku menyintai Suraya. Aku akan mengahwininya. Bahagia bersamanya.

Realitinya, aku insan yang diuji Tuhan. Kuceritakan kepada Su kepenatanku menjelajah tiga benua bagi menyelamatkan maruah lelakiku. Sudah puas aku bertemu pakar tradisional, semuanya tidak berhasil. Entah dari mana datangnya keberanianku ini. Barangkali, seagung Cinta Hang Tuah dan Ratna Dumilah, akhirnya di penamatnya lagenda, Hang Tuah berbicara jua tentang cintanya.Begitu juga aku. " I love you, Suraya.

Tapi insan tidak dapat hidup dengan cinta dan kasih sayang sahaja. Ada banyak keperluan yang perlu diisi sebagai manusia. Sebagai wanita matang, Su pasti memahaminyakan? Zaid sanggup mati demi cinta Su, kalau itu yang perlu Zaid lakukan bagi membahagiakan Su. Cinta bermakna, Su sepatutnya pergi mencari bahagia.

Bukan derita bersama Zaid". Seakan tidak berani untukku tatap wajah sedih Su. Wajah yang selama ini ingin kupandang siang dan malamku.Aku jelaskan sedalamnya buat Su. Selama ini aku membodohkan diriku sendiri, dengan cuba untuk tidak dekat dengan Su.Aku takut, aku jatuh hati dengan Su. Lebih parah lagi, jika Suraya jatuh cinta kepadaku. Malangnya, Su tidak takut menerjah kesusahan.

Kedinginan yang aku tunjukkan kepada Su, padanya, bukan satu penolakan perasaan. Ramai lelaki bersikap ego, tidak mahu menyatakan perasaan, takut kalah pada dunia.Kalah pada perasaan sendiri akan dianggap lemah. Ada benarnya kata-kata Su. Aku memang cintakan Suraya. Cuma bezanya, aku tidak ego untuk menyatakan perasaanku, sebaliknya, aku bimbang perasaan Su yang akan tercalar nanti.

Akhirnya Su akur dengan realiti kehidupan yang harus kami terima. Aku meminta agar kami kekal sebagai sahabat. " Kita akan kekal sebagai sahabat seagama Zaid. Semua ini akan lebih payah kalau kita masih berhubung. Semuanya ini datangnya dari Allah. Semua dengan izinNya. Terima kasih untuk kenangan manis.Kita akan berhutang memori Zaid'' suara Su sebak.

Tangisannya semakin reda. Dan kami berpisah.Sesudah Su pergi, aku menangis sendiri.Lelaki gagah ini akhirnya tewas juga dengan perasaan sendiri.Pada mak dan abah, aku Cuma jelaskan Suraya sudah menjadi milik jejaka lain,pilihan ibubapa Su.Wajah mak mendung. Abah menyalahkan aku dengan keadaan ini. Kalaulah aku bertindak lebih awal lagi?Dan mereka tidak mengetahui istilah 'kalau' itu tidak hadir dalam kamus hidupku.

Menyaksikan Su pergi, perkara terakhir yang ingin aku lakukan dalam hidupku, jika aku mampu memilihnya. Setahun berlalu, tertanya sendiri.apa cerita Su di sana? Rindukah dia padaku?Aku? Aku sentiasa merinduinya, suaranya, senyumannya,segalanya.

Persoalan terjawab, kad tulisan Su kuterima. Kad jemputan yang tidak pernah kubuka.Dalam diam kupanjatkan doa, semoga Allah memberi Rahmatnya. Untuk gadis bernama Suraya. Itu doa untuk gadisku. Kukorbankan diriku supaya Su tidak derita. Aku tahu, Su akan menerjah kepayahan seluas lautan sekalipun untuk terus bersamaku, kerana dia juga cintakan aku. Tapi aku adalah lelaki Melayu yang gagah, segagah Hang Tuah yang sanggup mati demi cintanya .Itulah cinta buat gadisku.Doa untuk gadisku…

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI