budaya meniru hilangkan kreativiti dan jadi pemalas





Para pelajar  wajar  berubah menjadi lebih kreatif ketika menyiapkan tugasan. Tidak tahu bahasa Inggeris adalah alasan yang tidak boleh diguna pakai kerana banyak cara untuk mempelajarinya. Hakikat yang pasti, lebih produktif dan tampak asli sesuatu penulisan itu jika diolah dalam gaya sendiri. Tidak perlu pun menciplak hasil kerja orang lain untuk mendapat markah tinggi dalam tugasan.

Tidak dinafikan, suasana pembelajaran di universiti memang ternyata berlainan jika dibandingkan di peringkat menengah rendah. Bahan bacaan lebih mudah dirujuk dan tiada batasan dalam kreativiti. Namun, dengan adanya lambakan universiti yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai syarat dalam menyiapkan sesebuah tugasan, itu yang menjadi isu utama mengapa ramai anak muda lebih cenderung kepada kegiatan plagiat.

Istilah popular ini difahamkan merujuk kepada pengambilan hak cipta, idea atau sesuatu penulisan orang lain sebagai hak persendirian tanpa adanya rujukan ataupun penghargaan kepada penulis asal. Mungkin ia tampak mudah dengan hanya memplagiat penulisan orang lain semata-mata untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi pensyarah, tapi apa yang pasti, lebih banyak keburukan timbul akibat perbuatan itu.

Bukan saja penulisan itu menjadi hasil tiruan, tapi mendorong remaja untuk tidak berusaha dan kreatif dalam membuat kajian akan sesuatu topik. Jika kesemua tugasan adalah hasil ciplak orang lain, sukar untuk mencapai kejayaan atas usaha sendiri.

Cepat dan mudah, itulah istilah yang kian dipelopori mahasiswa di universiti. Puncanya bermula apabila masa yang diperuntukkan untuk sesuatu tugasan itu tidak digunakan dengan sepenuhnya. Penulis percaya ramai anak muda yang gemar berhibur dan keluar ke kota ketika ketiadaan kuliah, namun perbuatan itu sendiri mengundang padah pada si pelaku kerana tidak mengatur masa dengan berkesan. Justeru, dengan waktu yang semakin singkat, jalan paling mudah guna kaedah plagiat saja.

Akibat tiada persediaan rapi, jari-jemari mula gelabah menekan papan kekunci untuk melayari laman web yang mengandungi fakta penting mengenai tugasan yang diberikan. Sebenarnya tidak salah menggunakan sedikit fakta dari Internet dan kemudian diolah dalam gaya penulisan sendiri, tapi realitinya, perkara yang sebaliknya berlaku. Asalkan tugasan siap, tidak kisah mencuri idea dan gaya penulisan orang lain secara terus menerus sehingga ia menjadi amalan harian yang menyekat produktiviti.

Semua orang tahu, bahasa utama dunia iaitu bahasa Inggeris memainkan peranan penting dalam komunikasi dan kaedah pembelajaran. Justeru lebih banyak universiti dan kolej terkemuka tempatan yang menetapkan bahasa ini sebagai syarat utama dalam tugasan pelajar. Ia sebenarnya membawa kepada hala tuju positif di mana golongan mahasiswa boleh memenuhi kehendak kerjaya profesional yang memerlukan kemahiran dalam bahasa Inggeris. 

Walaupun begitu, tetap ada anak muda yang tidak komited belajar bahasa Inggeris, sebaliknya hanya menyalahkan diri sendiri kononnya tidak pandai dan malas belajar. Hakikatnya, diri sendiri tidak mahu keluar dari zon selesa dan cuba menepis segala cabaran yang akan ditempuhi. Mungkin sukar untuk belajar bahasa asing, tapi jika ada usaha gigih, ia bukanlah mustahil. 

Bukan itu saja, cemuhan dan kritikan rakan juga menjadi tembok penghalang anak muda belajar bahasa utama dunia itu. Kononnya menguasai bahasa itu hanya sekadar untuk tunjuk pandai dan berlagak. Kerana takut dilontarkan ejekan, diri sendiri terhalang untuk teruskan niat. Realitinya, bukan ejekan rakan patut diendahkan, tapi diri sendiri yang kurang ilmu patut diberikan perhatian. 


Suasana pembelajaran di universiti sangat berbeza berbanding di sekolah mahupun matrikulasi. Penulis akui, pelajar selalu disuap dengan nota dan bahan bacaan oleh guru. Lain pula di universiti di mana mereka perlu berusaha sendiri mencari fakta dan maklumat penting yang diperlukan dalam tugasan. Bukan mudah jika sudah terbiasa dengan gaya belajar di sekolah. 

Tapi itu bukanlah alasan untuk menjadi tidak kreatif dan banyak mengharapkan bantuan orang lain. Kerana sukar menyesuaikan diri dengan gaya pembelajaran di universiti, mula sukar luahkan kreativiti. Banyak masa dihabiskan mengambil hasil karya penulisan orang lain dari menggunakan idea sendiri untuk dipamerkan dalam tulisan. 

Disebabkan itu juga, memang kurang hasil penulisan yang ada integriti dan ada aspek keaslian. Semuanya bersandarkan gaya penulisan orang lain dan tiada kreativiti dalam penulisan. Justeru, ia hanya memberikan impak negatif pada produktiviti pelajar itu sendiri seterusnya mengakibatkan budaya ini melahirkan lebih ramai graduan muda yang berstatus ‘cap ayam’ dan tidak mahir dalam bidang diceburi. 

Ada cara untuk anda buang sikap itu jauh-jauh. 

Pertama, pelajari dulu bahasa Inggeris di Internet ataupun ikuti kelas atau seminar yang berkaitan dengan penggunaan bahasa ini. Bagi anda yang masih bersekolah, harus bersiap sedia tanamkan kefahaman bahasa Inggeris dalam diri agar tidak dibelenggu masalah ketika berada di menara gading kelak. Bukanlah mudah untuk terus maju ke peringkat atas, tapi bermulalah dari bawah. Adalah lebih elok untuk mencuba dari tiada usaha ke arah positif.

Kedua, cuba latih diri untuk menggunakan Internet dengan sebaiknya. Dari menghabiskan masa berkunjung ke laman sosial, apa kata gunakan waktu terluang itu untuk belajar menulis artikel yang lebih bebas topiknya. Misalnya, boleh cuba dulu menulis sesuatu artikel dengan menggunakan gaya penulisan anda sendiri. Dalam waktu yang sama, jangan lupa dapatkan sedikit fakta dari Internet. Pastikan penulisan itu bersandarkan idea anda dan diolah mengikut kreativiti sendiri dari mengambil bulat-bulat buah pemikiran orang lain. 

Seterusnya, rujuk balik adakah penulisan anda banyak mengandungi kesalahan atau tidak. Tunjukkan pada rakan dan bertanyakan apakah pendapat mereka mengenai artikel itu. Dengan cara ini, anda boleh ketahui apa kesilapan utama dalam penulisan iaitu dari segi ejaan, penggunaan kata dan sebagainya. 

Langkah terakhir, tanamkan dalam diri sikap ingin berjaya dalam sesuatu yang diusahakan. Bagaimana anda mahu berjaya jika tiada keaslian dalam hasil kerja yang dipamerkan. Pada kesan jangka panjang, ia boleh memberikan impak negatif pada kerjaya dan lebih teruk lagi, anda seolah-olah tidak belajar apa-apa di universiti kerana kurang menunjukkan minat dan kemahiran.

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI