bahana ketagih komputer
Teknologi seperti penggunaan komputer sudah menjadi sebahagian dari kehidupan seharian anak muda masa kini. Anda haruslah berpada-pada menggunakan peranti ini kerana ia boleh memberikan impak negatif di kemudian hari jika perbuatan sendiri tidak dikawal.
Teknologi kini kian berkembang pesat dan begitu juga dengan remaja. Kalau dulu, generasi muda lebih gemar bermain permainan tradisional seperti guli dan congkak. Namun bagaimana pula dengan sekarang? lambakan anak muda kini menghabiskan masa menekan telefon pintar dan bermain komputer sehingga timbulnya istilah anti sosial dilabelkan pada mereka.
Kita sudah kerap kali didedahkan dengan masalah anti sosial. Sebenarnya yang berlaku di sebalik kepincangan itu, terdapat akibat yang lebih buruk berkaitan dengan masalah kesihatan sekaligus memberikan impak negatif pada hidup remaja kelak.
Menghabiskan masa seharian menghadap peranti canggih itu mungkin kelihatan seronok tapi pada masa yang sama ia boleh menggugat kesihatan dari segi mental dan juga fizikal anak muda itu sendiri.
Komputer, televisyen, peranti canggih yang menggunakan skrin menjadikan remaja ketagih dan hanya membuang masa jika ia tidak dikawal. Kepincangan ini menyebabkan anak muda kurang bergaul dan lebih gemar ‘berkepit’ dengan peranti canggih.
Kandungan menarik di Internet dan percambahan hubungan jarak jauh di laman sosial juga menjadi elemen utama menyumbang kepada faktor peningkatan masa berapa lama seseorang remaja itu melayari Internet setiap hari.
Imbas kembali 10 tahun dulu, tidak ramai golongan muda yang menghabiskan masa di Internet. Kalau hendak bersosial pun, mereka lebih gemar bersemuka dari berbincang dan berkongsi cerita di laman sosial.
Kini, ramai remaja yang berumur bermula 12 tahun ke atas sudah mampu memiliki sendiri peranti canggih. Penulis rasakan dengan umur yang begitu muda sudah banyak menghabiskan masa dengan teknologi, tidak mustahil akan ada lebih banyak peningkatan masalah kesihatan dari segi fizikal dan mental di masa depan kelak.
Mengikuti kajian yang dilakukan ‘Norton Online Living Report’ (NOLR) yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2011, remaja menghabiskan masa sebanyak 16 jam seminggu melayari Internet. Itu adalah angka yang tinggi berbanding dulu di mana Internet baru saja dikenali di dunia. Laman sosial seperti Facebook dan Twitter adalah yang paling tinggi kadar lawatannya.
Kita percaya laman sosial sudah menjadi sebahagian dari kehidupan seharian anak muda kerana ia mudah diakses dan mengandungi pelbagai maklumat. Tapi, adakah ia memberikan lebih kebaikan berbanding keburukan? jika kita kerap menghadap skrin komputer sehingga berjam-jam lamanya, ia boleh menjadikan badan kita cepat lenguh. Bukan itu saja, hampir 70 peratus remaja mengalami sakit di bahagian leher dan belakang akibat terlalu lama menghabiskan masa di hadapan komputer.
Masalah seperti sakit di bahagian leher berpunca apabila otot tegang disebabkan kerja yang dilakukan berterusan dengan mengadap komputer sepanjang hari.
Kekurangan aktiviti regangan dan kedudukan tubuh yang tidak betul adalah faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini,” katanya.
Duduk dalam keadaan statik tanpa berbuat apa-apa sebenarnya lebih memburukkan lagi keadaan. Eksekutif muda yang bekerja berpandukan komputer juga turut mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berdepan dengan masalah ini.
Sudahlah kerja banyak dihabiskan di pejabat, ditambah pula waktu yang digunakan untuk memandu kereta dan juga menggunakan pengangkutan awam seperti bas serta keretapi transit ringan. Lebih teruk lagi, baki masa yang ada dihabiskan bersantai di depan televisyen dan bersandar pada sofa.
Mengikut kajian terbaru, menghadap skrin komputer selama lima jam sehari boleh menyebabkan kemurungan dan penyakit ‘insomnia’. Anak muda yang ketagih pada penggunaan komputer sepatutnya tidak menghabiskan masa lebih dari lima jam dalam sehari.
Jika mereka melebihi had lima jam itu, banyak kemungkinan boleh berlaku seperti masalah kitaran tidur dan juga mental. Bukan itu saja, perbuatan itu menyumbang kepada pengasingan individu dari bergaul dengan teman sekerja di pejabat ataupun rakan taulan.
Eksekutif muda yang banyak menghabiskan masa di komputer ketika berada di pejabat khususnya mengalami sindrom kemurungan kerana risaukan kerja tidak siap. Mereka jarang berhenti dan berehat seketika sebaliknya hanya fokus untuk menyiapkan kerja. Ini bukan saja boleh memberikan masalah pada fizikal tapi juga mental. Perbuatan ini meningkatkan kadar kemurungan dan menghalang individu itu dari mencukupi kehendak sosial mereka.
Bukan itu saja, anak muda yang baru saja mencecah umur 13 tahun ke atas akan mengalami masalah mental dan ‘takut’ dengan diri sendiri. Bagi mereka, lebih seronok jika masa dihabiskan bersembang dengan rakan di alam maya. Hakikatnya, untuk jangka masa yang panjang mereka akan rasa kurang yakin dan tidak percaya dengan diri sendiri. Akibat yang paling teruk, mereka sukar bergaul dengan masyarakat dan gemar bersendirian melayari Internet.
Padah apabila aktiviti ini tidak dikawal dan hanya ‘layan’ kepala sendiri saja. Ia bukan saja memberikan kesan pada fizikal tapi juga mental. Paling penting, perlu hentikan segera dan tetapkan had ketika menggunakan komputer. Jangan menyesal jika badan sudah bongkok dan kita digelar anti sosial kerana tidak mahu tanamkan inisiatif untuk berubah.
Jika sudah memang ketagih, apa kata kali ini tetapkan had ketika bermain komputer. Contohnya, kalau sudah biasa bermain lebih dari enam jam, cuba tetapkan pada satu jam saja sehari. Mungkin ia kelihatan sekejap tapi jika sudah biasa diamalkan, makin mudah untuk anda menyesuaikan diri. Ingat kesan jangka panjang yang lebih memudaratkan.
Ketika sedang duduk, elakkan dari memandang skrin dengan jarak yang terlalu dekat. Lakukan juga regangan pada badan untuk mengelakkan sakit sendi. Seterusnya, ambil masa untuk keluar dengan rakan sepejabat dari menghabiskan masa menghadap komputer saja. Tubuh manusia memerlukan pergerakan dan senaman, oleh itu jangan sesekali duduk tanpa berbuat apa-apa.
Bagi anak muda yang lebih gemar bersosial di Internet, mungkin ia kelihatan seronok pada mulanya tapi percayalah kesan jangka panjang bukanlah memberangsangkan.
Anda mudah mengalami kemurungan dan sukar menyesuaikan diri dengan realiti jika ia dibiarkan berterusan. Gunakan masa sebentar saja atau pada waktu malam untuk bersembang dengan rakan di alam maya. Pada waktu petang, lakukan senaman dan jangan lupa untuk berkomunikasi bersama rakan.
0 comments :
Catat Ulasan
SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI