teknologi nano percepat proses penyembuhan tulang



Imbasan sinar-X menunjukkan keadaan ketumbuhan pada tulang yang dirawat menggunakan partikel nano dari kulit kerang.

MENGALAMI situasi patah tulang sama ada akibat kemalangan mahupun penyakit seperti kekurangan kalsium atau osteoporosis merupakan antara kecederaan yang mengambil jangka masa agak panjang untuk sembuh sepenuhnya.

Kecanggihan perubatan yang semakin berkembang dan ditambah dengan kemunculan teknologi nano sejak beberapa tahun lalu memberikan ruang kepada penyelidik meneroka kemungkinan baharu bagi membolehkan sesuatu penyakit pulih secara pantas.

Berikutan perkembangan tersebut, penyelidik dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), tampil dengan inovasi berasaskan kulit kerang yang digabungkan dengan teknologi nano bagi merawat kecederaan tulang. Hasilnya, kecederaan tulang dapat dirawat dengan lebih cepat berbanding kaedah sedia ada.

Rawatan yang diamalkan pada ketika ini memerlukan masa lebih kurang enam bulan hingga dua tahun bergantung kepada jenis kecederaan yang dialami.

Kajian ini terbahagi kepada dua kegunaan iaitu partikel nano kulit kerang digunakan sebagai perancah untuk rawatan penggantian atau pemulihan tulang yang cedera mahupun rosak dan satu lagi adalah bagi dijadikan bahan pembawa ubat ke sel badan terjejas.

Kelebihan kulit kerang ialah ia mempunyai jenis kalsium yang mampu diserap oleh badan dengan cepat dan ia tidak mengandungi toksik bahaya kepada badan serta boleh disingkirkan secara semula jadi melalui urin atau perkumuhan lain.

Bahan perancah yang digunakan untuk rawatan penggantian tulang pada ketika ini merupakan jenis kalsium daripada batu kapur iaitu kalsium karbonat hidroksida apatit yang bersifat lambat diserap oleh badan. Disebabkan perkara tersebut, proses penyembuhan juga berlaku agak perlahan.

Kajian yang dimulakan sejak tahun 2004 bagi mencari penyelesaian dalam mengurangkan kos bahan mentah untuk rawatan kecederaan tulang itu pada mulanya menggunakan batu karang sebagai bahan utama penyelidikan.

Bagaimanapun, penyelidikan terhadap batu karang tersebut disebabkan ia merupakan spesies hidupan laut yang terancam serta mengambil masa yang sangat lama untuk menunggu ia membesar supaya boleh digunakan secara besar-besaran.

Berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini oleh pengkaji lain, batu karang bagus untuk rawatan pemulihan tulang kerana bentuk atau morfologi batu karang khususnya dari spesies porites yang berbentuk seperti jejari mampu merawat kecederaan tulang dengan cepat.

Disebabkan batu karang merupakan spesies terancam, maka penyelidik berkenaan beralih kepada kulit kerang kerana ia mengandungi mineral yang sama dengan batu karang iaitu kalsium karbonat aragonite polimof.

Mereka turut membuat perbandingan terhadap kandungan kalsium karbonat yang terdapat pada jenis cangkerang lain seperti tiram, kupang, siput sedut serta kepah dan hasilnya tidak sama dengan kerang biasa.

Selain berpotensi tinggi untuk menyembuhkan tulang yang patah dengan cepat, kajian tersebut turut mampu mengurangkan kos penghasilan perancah lebih daripada separuh berbanding yang digunakan pada masa ini.



Contoh perancah tulang yang dihasilkan melalui teknologi partikel nano.

Sementara itu,ujian terhadap pesakit yang menggunakan partikel nano kulit kerang mendapati mereka boleh sembuh sepenuhnya dalam tempoh seawal dua bulan.

Uji kaji dilakukan adalah berdasarkan bentuk kecederaan tulang yang serius atau lebih dikenali sebagai kecacatan saiz kritikal (CSD) iaitu tulang yang tidak boleh sembuh dengan sendiri tanpa bantuan perancah.

“Hasil kajian yang dilakukan amat menakjubkan kerana kadar penyembuhan tulang berlaku sangat pantas iaitu hanya mengambil masa lebih kurang dua bulan.

Kecederaan tulang tahap CSD berlaku apabila saiznya melebihi diameter tulang itu sendiri dan ia memerlukan bantuan perancah yang diletakkan pada bahagian rekahan atau jurang tulang untuk sembuh.

Hasil daripada kajian selama 11 tahun itu berjaya menghasilkan tiga jenis perancah tulang iaitu dalam bentuk menyerupai tulang sebenar, pes dan perancah berliang.

Penghasilan partikel nano kulit kerang tersebut melibatkan proses mengisar cangkerang menjadi serbuk dan kemudian ia akan melalui tahap pengecilan saiz sehingga mencapai saiz satu hingga 100 nanometer sebelum dibentuk menjadi blok-blok dalam ukuran tertentu untuk dijadikan perancah.

Penyelidikan yang dilakukan khusus untuk haiwan ternakan atau binatang peliharaan yang mengalami masalah tulang sama ada disebabkan penyakit atau keretakan itu akan dikembangkan pula penggunaannya terhadap manusia yang dijangka memasuki fasa praklinikal pada tahun hadapan.

Di samping menghasilkan perancah tulang, partikel nano kulit kerang juga mampu dijadikan sebagai bahan campuran dalam ubat-ubatan bertujuan untuk membantu membawa bahan aktif pada ramuan tersebut ke bahagian badan tertentu yang diserang penyakit seperti kanser.

Drug carrier atau pengangkut ubat merupakan salah satu elemen penting dalam merawat sesuatu penyakit kerana ia berperanan untuk membawa dos yang dimasukkan dalam badan ke tempat sepatutnya dan melepaskannya bagi melawan sel tidak baik.

Penggunaan partikel nano kulit kerang yang bersifat sensitif pada keadaan pH badan menjadikan ia sangat sesuai diformulasikan sebagai pengangkut ubat bagi menggantikan atau memberikan alternatif lain kepada kaedah sekarang.

Beberapa simptom seperti keguguran rambut, badan menjadi lemah dan mengalami kesakitan pada sesetengah bahagian tubuh merupakan antara perkara yang dialami pesakit kanser selepas menjalani rawatan kemoterapi berikutan ubat antikanser yang digunakan turut menyerang sel normal atau sihat.

Fungsi pengangkut ubat yang diperbuat daripada partikel nano kulit kerang tersebut sedikit sebanyak mampu membantu mengatasi gejala kesan sampingan berkenaan.

Persekitaran sesuatu sel kanser atau tumor mempunyai nilai pH yang berasid dan pengangkut ubat daripada partikel nano kulit kerang ini hanya akan bertindak balas secara menyeluruh apabila berada dalam keadaan tersebut.

Maka sel normal yang mempunyai nilai pH semula jadi tidak akan terjejas dan kesan sampingan akibat pengambilan ubat tadi dapat dikurangkan atau dielakkan.

Aplikasi partikel nano tersebut sebagai pengangkut ubat dikatakan dapat mengurangkan jumlah sukatan ubat sehingga melebihi separuh daripada dos yang digunakan pada ketika ini sekali gus menjimatkan kos rawatan perubatan.

Berikutan kandungan kalsium yang terkandung pada kulit kerang tersebut baik untuk kesihatan tulang, ia turut berpotensi untuk dijadikan sebagai makanan tambahan kepada warga emas yang mengalami osteoporosis akibat kekurangan mineral tersebut dalam badan.

Hasil daripada eksperimen sebelum ini mendapati ubat yang digunakan bersama partikel nano berkenaan dalam merawat sel kanser menunjukkan kesan memberangsangkan walaupun sukatannya dikurangkan.

Dalam pada itu, turut di cuba  adalah  menggunakan partikel nano tanpa dicampur dengan ubat-ubatan tertentu bagi melihat kesan terhadap pertambahan tahap kalsium dalam tubuh dan ternyata ia mampu membantu mengembalikan jumlah kalsium.


About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI