godam sistem komputer untuk ubah markah
Imran Udin dipenjara 4 bulan.
BIRMINGHAM - BRITAIN. Seorang pelajar Universiti Birminghams dipenjara empat bulan selepas didapati bersalah menggodam sistem komputer universiti berkenaan dan mengubah keputusan peperiksaannya.
Imran Udin, 25, menggunakan sebuah peranti khas untuk mencuri kata laluan kakitangan universiti berkenaan dan mengubah markah peperiksaannya kerana bimbang akan hanya memperoleh ijazah kelas kedua rendah.
Beliau dipenjara di Mahkamah Birmingham Crown di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.
Pendakwaraya, Madhu Rai berkata, pelajar tersebut meletakkan peranti pada papan kekunci komputer dengan tujuan untuk mencuri kata laluan kakitangan universiti berkenaan.
“Kegiatannya itu terbongkar selepas dua kakitangan universiti yang menjalankan rutin penyelenggaraan komputer menemui peranti berkenaan di belakang papan kekunci komputer di bilik kuliah Fakulti Sains Bio.
“Pihak universiti kemudiannya memeriksa semua komputer dan kemudiannya menjumpai tiga lagi peranti serupa yang dipasang di belakang papan kekunci.
“Salah satu peranti tersebut diletakkan pada komputer kakitangan yang bertanggungjawab untuk mengisi gred peperiksaan,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati Imran telah menggodam sistem komputer dan menukar markah untuk lima kertas kerja kursus kepada peratusan yang lebih tinggi.
Salah satu markah kertas yang ditukarnya ialah dari 57 peratus kepada 73.6 peratus.
Polis kemudiannya menggeledah rumah pelajar berkenaan dan mendapati Imram pernah membuat carian tentang peranti berkenaan di laman internet.
Sementara itu, peguam bela Imran, Balbir Singh berkata, pelajar itu terpaksa melakukan perkara itu kerana tertekan dengan keluarganya yang mahukannya memperoleh keputusan yang cemerlang ditambah pula dia satu-satunya anak yang berjaya menyambung pelajaran ke universiti.
"Dia berada di tahun akhir dan kini digantung pengajian dan tidak mungkin mana-mana universiti akan mengambilnya selepas ini", katanya
0 comments :
Catat Ulasan
SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI