toyol




Siapakah toyol ? Jika kita pergi ke mana-mana tempat sekiranya ada duit hilang dan didapati tiada punca atau penyebab kehilangannya barangkali toyollah yang dituduh mencuri wang tersebut. Toyol seperti yang kita sedia maklum berupa seperti seorang budak kecil yang berbogel, saiznya kecil dengan ketinggian separas pinggang orang dewasa normal. Toyol biasanya berkepala botak, dahi menonjol, bermata merah menyala, gigi yang tajam, bermulut besar dan berperut
buncit


 

Pemilik Toyol sanggup mementingkan kepentingan hawa nafsu dunia dan mengorbankan akidah dan agama Toyol sebenarnya merupakan hantu yang amat dikenali di rantau Asia Tenggara. Ia dikenali sebagai Gui Zai yakni Hantu Budak Kecil dalam bahasa Cina manakala dalam bahasa Hokkien ia dikenali sebagai Kwee Kia. Karakter Toyol seperti kanak-kanak yang manja. Suka dibelai dan sangat licik. Tanda kehadiran Toyol sedang menghampiri ialah kedengaran bunyi terompah yang sedang berjalan atau besi rantai yang sedang diseret-seret di atas lantai.


 

Toyol juga seperti hantu-hantu lain sukakan tempat tinggal yang sunyi,gelap dan lembap Toyol juga ada tempat tinggal. Tempat tinggal yang dimaksudkan ialah tempat kegemarannya seperti hutan-hutan tebal, kawasan perkuburan yang dianggap keramat, tempat-tempat pemujaan, tempat yang gelap dan sunyi dari sebarang kegiatan keagamaan. Seseorang yang ingin memiliki toyol hendaklah mengikuti beberapa pantang larang dan peraturan seperti tidak boleh sama sekali mengamalkan ajaran agama.

Tidak boleh melakukan sebarang kebajikan dan sanggup menyerahkan isteri sendiri untuk disusui oleh toyol. Suasana tempat tinggal pemilik haruslah redup dan gelap sesuai dengan tabiat Toyol yang sukakan kegelapan. Selain itu, Toyol mempunyai karakter seperti anak-anak kecil maka pemilik harus melayannya dengan penuh kasih sayang dan dibawa berjalan-jalan mengikut kehendaknya. 

Pemilik Toyol boleh dikenali dengan beberapa tanda pada dirinya iaitu karakternya tidak memandang mata orang lain ketika bercakap-cakap, tangan bersilang di belakangnya konon toyol sedang duduk di atas tangannya dan ibu jari kaki pemilik Toyol dikatakan mengecut seperti buah anggur yang sedang kecut.

Dikatakan tanda pemilik Toyol terdapat pada isterinya juga dimana sifat isterinya menjadi pendiam lebih-lebih lagi ketika bertandang ke rumah orang kaya dan mengalami pembesaran buah dada yang luar biasa. Terdapat beberapa versi kisah-kisah untuk memiliki Toyol dalam masyarakat kita. Kononnya untuk memiliki Toyol adalah bertemu dengan dukun ilmu hitam yang boleh menghasilkan

Toyol daripada janin manusia tetapi kisah yang paling popular untuk mendapatkan Toyol dalam masyarakat ialah mendapatkannya di Mekah kerana dikatakan pada zaman jahiliyah dahulu ramai kanak-kanak tidak berdosa dibunuh secara kejam dan ditanam hidup-hidup.

Penjual disana dikatakan akan memuja dan memasukkan makhluk halus ke dalam patung kecil. Selepas itu, bagi sesiapa yang ingin memiliki Toyol hendaklah memeluk satu tiang dari belakang seperti mengendong seorang anak kecil. Kos untuk memiliki Toyol dianggarkan sebanyak RM 500 sehingga RM 5000 mungkin bergantung kepada jenis makhluk halus yang meresapi patung kecil itu.

Setelah semua syarat-syarat dipersetujui, Toyol tersebut akan muncul dihadapan tuannya untuk dilatih mengenal matawang sebelum dibawa pulang. Kisah membeli Toyol di Tanah Suci adalah cerita yang sedikit sebanyak menimbulkan persepsi buruk terhadap tempat tumpuan umat Islam beribadah kepada Allah SWT dan bagi kita ini adalah cerita yang meragukan dan berharap agar sidang pembaca memiliki anggapan yang baik terhadap Tanah Suci Mekah Al Mukarramah.

Kisah-kisah lain pula menceritakan untuk memiliki Toyol hendaklah mencari kubur bayi yang mati akibat keguguran. Korek kuburnya pada waktu tengah malam dan dapatkan janin tersebut dan dibacakan jampi-jampi tertentu lalu diletakkan dalam balang yang mengandungi cecair pengawet yang dicampur dengan darah ayam jantan berwarna putih.

Selepas itu, letakkan balang yang berisi janin itu di tempat yang gelap dan tersorok agar tidak dilihat oleh sesiapa. Pemiliknya dikehendaki menitiskan beberapa titik darah dari ibu jari kaki dan tangannya pada setiap hari. Ada pendapat menyebut setiap malam bulan mengambang. Memandangkan Toyol merupakan seorang anak kecil maka pemiliknya harus membelainya semasa memberinya makan dan disulam dengan manisan seperti gula-gula.


 

Toyol memiliki karakter seperti anak-anak kecil Penjagaan Toyol tidak banyak berbeza dari menjaga anak kecil. Penyediaan makanan seperti bubur panas, susu dan tujuh bunga segar hendaklah sentiasa disediakan. Bilik untuk tempat tinggal Toyol hendaklah sentiasa berbau kemenyan dan lembap.

Toyol juga mahu dimanjakan dan diajak bermain seperti anak-anak kecil. Objektif utama seseorang pemilik Toyol pada masa dahulu adalah untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan singkat. Toyol juga disuruh mencuri, mengganas dan mengacau musuh-musuh tuannya sekiranya diarahkan berbuat demikian.

 

Toyol sering menganggu manusia dengan mencuri barang-barang berharga seperti wang Kemampuan Toyol adalah mencuri duit syiling, wang kertas dan barang kemas walaupun disorok celah-celah mana sekalipun.

Walaubagaimanapun, Toyol tidak sesekali mencuri barangan orang bukan Islam. Untuk tugas mencuri wang, Toyol hanya akan mencuri sejumlah wang yang telah diajarkan kepadanya untuk mencuri. Toyol tidak mencuri kesemua wang tetapi hanya sebahagian daripada wang-wang tersebut.

Biasanya, Toyol mencuri wang yang sama harga dengan dirinya atau lebih sedikit. Kebolehan Toyol mengelirukan tuan punya wang dan barang kemas disebabkan oleh kemahiran susun aturnya. Untuk tidak mengurangkan kuasanya, duit-duit yang dicuri oleh Toyol jangan sesekali digunakan untuk membeli sebarang makanan. Petua-petua orang lama ada berpesan untuk mengelakkan wang dicuri oleh Toyol hendaklah sentiasa meletakkan kacang hijau di dalam lesung batu.

Ini disebabkan Toyol akan leka bermain-main dengan kacang hijau dan seronok melihat lesung batu berpusing-pusing. Selain itu, terdapat juga kaedah lain iaitu meletakkan ikan puyu di dalam tempayan di hadapan rumah dan ketam batu yang diletakkan di dalam besen.

Kaedah ini akan dapat melekakan Toyol kerana ia akan asyik bermain-main dengan haiwan-haiwan itu. Ada juga petua yang mengatakan bahawa meletakkan kacang hijau di atas katil dapat menyelamatkan diri daripada digigit Toyol. Dikatakan Toyol menggigit seperti dicucuk oleh jarum. Terdapat lagi beberapa petua yang biasa diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk mengelakkan wang dicuri Toyol seperti meletakkan wang bersama sikat, cermin, kacang hijau, kaca, jarum dan beberapa helai rambut.

Wang yang disimpan dalam uncang dikatakan akan terselamat daripada dicuri Toyol. Selain itu, meletakkan penyapu lidi terbalik di belakang pintu adalah salah satu cara untuk mengelakkan ancaman Toyol. Sekiranya pemilik menjaga Toyolnya dengan baik, maka hasil daripada kerja-kerja Toyol juga sangat memuaskan.

Toyol akan menjadi belaan yang taat dan tidak engkar perintah. Jika tidak, Toyol akan mengganas dengan mengganggu isteri tuannya, menjelmakan diri di sekitar rumah tuannya dan bersikap biadap. Bila perkhidmatan Toyol tidak diperlukan, maka tuannya hendaklah membuangnya ke tempat ia dibeli atau dibuang dengan menghanyutkannya dengan ancak ke dalam sungai atau dibakar di kawasan perkuburan mengikut perjanjian semasa urusan jual beli.

Toyol juga boleh diwarisi kepada waris-waris terdekat seperti ahli keluarga kandung dari satu generasi ke generasi. Membela Toyol merupakan satu kerja khurafat dan syirik kepada Allah SWT kerana pemiliknya sanggup tidak mengamalkan ajaran Islam semata-mata untuk memenuhi kehendak hawa nafsu dunianya.

Toyol adalah jin syaitan yang berusaha menyesatkan manusia dan memporak perandakan kehidupan rumah tangga dan masyarakat. Oleh itu, kita berpesan kepada diri sendiri dan sidang pembaca sekalian agar menjauhi kerja-kerja terkutuk lagi tidak diredhai oleh Allah SWT ini. Nauzubillahiminzalik.


 

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI