mencari cinta ilahi
Sehelai demi sehelai muka surat buku ini telah ku lewati sejak dari pagi tadi. Selesai solat subuh, aku tidak berselubung semula dengan selimut. Terus aku labuhkan punggung di kerusi empuk berhadapan dengan komputer peribadi ku dan ku sandarkan tubuh dengan selesa. Terus ku capai buku berkulit biru putih ini yang berada di atas meja dan ku mula membaca dengan penuh khusyuk. Buku yang dihadiahkan oleh wanita yang ku cintai ini, membuatkan aku tidak sedar dengan peredaran masa yang cukup pantas. Masa yang terus berlari membuatkan aku selalu di belakang. Demi masa, sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian kecuali bagi mereka yang beriman.
Ku jeling jam kecil berwarna hijau lembut di atas meja bersebelahan dengan satu rak kecil di mana aku tempatkan manuskrip-manuskrip yang masih lagi belum selesai. Sudah jam sebelas pagi rupanya. Tidak hairanlah perut ku ini sudah mula mogok. Ku selitkan sehelai kertas kecil berwarna biru yang tertulis baris kata yang cukup ringkas dari Farisha ke dalam muka surat terakhir yang ku baca tadi, lalu ku tutup buku berkulit biru putih itu dan ku letakkan di atas meja semula. Sudah separuh rupanya aku membaca buku itu tanpa sedar hari sudah meninggi.
Selesai membersihkan diri dan bersiap, ku sisir rambut yang sudah hampir mencecah bahu ini dengan rapi. Kumis dan jambang yang tumbuh galak tidak ku hiraukan. Segera aku meninggalkan rumah dan ku pandu kereta laju menuju ke kedai makan berdekatan Jalan Tunku Abdul Rahman yang selalu ku kunjungi untuk mengisi perut. Tidak kira waktu siang atau malam, kedai itulah yang menambat selera makan ku. Di situ jugalah tempat aku mengenal cinta Farisha. Tempat di mana banyak kenangan cinta kami berputik dan bersemadi.
Hari ini agak lengang dari para pelanggan yang biasanya memenuhi meja dan kerusi di gerai makan di sini. Aku mengambil tempat di salah satu sudut meja yang agak terpencil dan jauh dari para pelanggan yang lain. Ku buka lembaran buku berkulit biru putih itu semula dan mula membaca. Di hadapanku segelas milo ais, ku teguk perlahan-lahan buat membasahkan tekak yang kering. Perut yang sudah kenyang dengan nasi putih berlauk ikan keli masak lemak cili padi dan telur asin berjaya membuatkan mata ini semakin memberat. Namun, aku gagahkan juga kelopak mata ini dan terus membaca buku itu. Sekilas ku terdengar bunyi piano dari tetingkap bangunan yang berdekatan lalu teringatkan Farisha.
"Abang jangan lupa tau datang masa pertunjukkan nanti. Sabtu pagi minggu depan, kat dewan utama. Ni tiketnya."Farisha lalu menghulurkan sekeping kertas keras yang kecil berwarna ungu muda dengan tulisan keemasan di atasnya.
"Abang tak boleh janji, abang takut tak sempat nak siapkan manuskrip yang kena hantar tu. Isha tau je la kan, kalau tak cukup info yang sahih abang tak boleh siapkan manuskrip macam tu je."Tanganku lantas menyambut tiket tersebut dari tangan putih kemerahan yang dimiliki oleh Isha.
"Isha harap abang dapat datang. Kalau tak datang awal pun, asal abang ada masa Isha perform pun dah cukup. Isha bawakan lagu yang istimewa untuk abang, jadi abang kena datang juga."Dilemparkan senyuman manis yang berjaya mencuri hatiku sehingga saat ini.
Aku meneguk air teh pink yang berada dihadapan kami yang semakin kurang manisnya kerana ais yang memenuhi gelas telah mencair sedikit demi sedikit. Ku ambil tiket itu dan ku masukkan ke dalam wallet hijau tua yang sudah lusuh dan menunggu untuk diganti.
"Tumit kaki Isha kering la abang. Tumit kaki abang tak kering ke?"Tiba-tiba Isha melempar pertanyaan itu kepada aku yang baru sahaja selesai menyimpan semula wallet lusuhku itu ke dalam saku.
"Kaki abang cukup air."Aku menjawab spontan lalu membuatkan Isha ketawa besar. Aku hanya mampu turut sekali ketawa walaupun dalam fikiranku ini tidak menyangka jawapan yang telah aku berikan itu akan membuatkan Isha merasa lucu.
Tergiang-giang lagi melodi lagu Mencari Cinta, melodi ciptaan Isha di hari pertunjukkan yang telah menaikkan nama Isha sebagai pemain piano berkebolehan. Minat Isha terhadap instrumen itu tidak dapat dinafikan lagi. Segala usaha gigihnya sejak zaman sekolah semakin membuahkan hasil. Jari jemarinya yang halus itu, ligat menari di atas kekunci kecil berwarna putih dan hitam itu. Kepala yang sesekali diangguk-anggukkan mengikut melodi lagu yang sedang dimainkan.
Ku tinggalkan sekeping not lima ringgit dan lima keping syiling dua puluh sen di atas meja dan aku beredar ke tapak letak kereta. Melewati sebuah toko buku membuatkan aku terkenangkan Isha kembali. Di toko buku itulah aku mula melihat Isha, di mana dia selalu berkunjung ke toko buku itu untuk mencari bahan bacaan yang dapat menambahkan ilmunya kepada yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih sebagai makanan jiwa, dan juga buku-buku muzik yang sudah menjadi makanan jari jemarinya setiap hari.
Dari sehelai selendang yang menutup leher dan bahu, Isha menutup mahkota kepalanya yang dahulunya berjuraian mempesona. Dari tudung Wardina, tudung Mawi, hinggalah kepada tudung Siti Nurhaliza dan Datuk K telah pernah disarungnya. Aku pula yang kehairanan, bagaimanalah Mawi dan Datuk K yang tidak pernah bertudung itu boleh wujud pula tudung dengan nama mereka. Hingga dengan pertanyaan itu mampu membuatkan aku tersenyum sendiri, sedikit lucu.
Saat-saat indah kami bersama bertukar perlahan-lahan menjadi saat-saat sayu dan sedih. Hati aku yang sangat mencintai Isha menjadi pedih yang lebih hebat dari tercucuk duri dan dipanah busur apabila Isha disahkan mengidap kanser saraf yang akan membunuhnya secara perlahan-lahan. Wajah yang dahulunya sering dihiasi dengan senyuman dan hilai ketawa kini sering dihujani dengan deraian air mata. Aku sendiri tidak tahan melihat keadaan Isha sebegitu. Aku ingin sekali menanggung kesakitan yang Isha alami jikalau penyakit itu dapat dialihkan kepada jasad manusia lain. Malangnya sesuatu penyakit yang telah memilih jasad seseorang itu, hanya dapat meninggalkan jasad tersebut apabila ia telah pulih atau berakhir.
Isha yang semakin hari semakin lemah tubuh badannya dan sukar untuk mengimbangi jisim tubuhnya, semakin sukar untuk bergerak dan lebih banyak terlantar di katil hospital. Pernah aku usahakan untuk membawa Isha pulang ke rumah namun doktor yang bertanggungjawab keberatan untuk melepaskan. Sebagai anak yatim piatu, Isha sudah lama terpisah dari saudara-maranya. Dengan membesar di rumah anak yatim membuatkan Isha lebih berdikari dan mudah menyesuaikan diri.
Jari jemari Isha juga semakin lemah untuk memikul beban dan semakin kurang peka kepada sentuhan. Reseptornya makin hari semakin kurang peka . Ini membuatkan jari jemari Isha tidak lagi dapat menekan kekunci hitam putih yang telah menjadi dunianya. Sedikit kekuatan yang ada menyebabkan Isha lebih banyak menulis. Atas permintaan Isha, ku belikan helaian kertas-kertas kecil pelbagai bentuk dan warna buat Isha.
Melimpasi pohon kemboja yang berbunga lebat di sebelah kanan jalan, aku melangkah dengan perasaan sayu mendekati kuburan yang masih merah lagi, yang masih segar dengan suara tangisan dalam talkin, di mana rumput-rumput hijau masih belum menjalar di atasnya. Aku labuhkan tubuh di atas sebiji batu merah yang berdekatan lalu ku sedekahkan ayat suci dan surah Yassin buat Isha. Air mawar ku siram atas kuburan Isha seperti sebelumnya, dan dalam hatiku ku katakan pada Isha yang aku akan datang kembali satu minggu lagi. Kuburan Al-Azim ku tinggalkan.
"Abang, Isha mahu abang jangan datang melawat Isha lagi." Kata-kata Isha yang tersekat-sekat itu membuatkan aku tersentak.
"Tapi kenapa?" Aku cuba menghampiri Isha yang terbaring kaku di atas katil namun isyarat yang ditunjukkan olehnya menghalang hasratku.
"Kehadiran abang di sini akan buat Isha bertambah sedih. Isha tak mampu tunaikan apa yang kita pernah impikan dan tak mampu lagi untuk berdiri disamping abang." Suaranya dibuat-buat keras, melindungi perasaan yang sebenarnya sayu.
"Abang akan terus bersama Isha."
"Isha minta tolong sangat-sangat dengan abang. Selagi abang ada di sini bersama Isha, Isha akan merasa lebih sakit dan abang pun akan lebih sakit."
Jari jemari Isha ku genggam erat dan ku pandang wajah Isha tepat ke dalam matanya. Lantas ku tarik nafas dalam-dalam, ku anggukkan kepala kepadanya tanda setuju.
Selepas itu sehinggalah saat Isha menghembuskan nafas terakhirnya, aku tiada disisi Isha lagi. Tiada seorang pun yang akan dapat memahami betapa pedihnya hati ini apabila tidak mampu berada disisi orang yang disayangi saat dia lemah dan terlantar sakit. Di saat kita perlu menghulurkan tangan tanda bantuan dan bahu tanda sokongan. Aku tidak mampu melakukan itu buat Isha. Aku terpaksa memberikan apa saja kemahuan Isha walaupun keinginan hatiku sendiri seperti dihiris-hiris.
Pintu kamar ku hempas kuat. Tubuh yang lelah sudah terbaring enak di atas katil. Ku toleh ke sebelah kanan katil di mana aku tempatkan buku berkulit biru putih itu sebentar tadi. Ku capai semula dan ku baca dua helaian terakhir yang masih berbaki. Mata ku terpana pada helaian terakhir buku itu. Tertulis di atasnya oleh tangan Isha...
"Buat Abang yang dicintai, Isha kembali dengan cinta Ilahi."
Ku bangkit dari katil dan menuju ke bilik bacaan. Buku berkulit biru putih itu masih ku genggam erat. Tertulis di hadapan kulit biru putih itu, MENCARI CINTA ILAHI. Air mata yang cuba ku tahan dari tadi akhirnya jatuh berjurai, menang kepada ketabahan hati yang kini dilimpahi kerinduan buat Isha. Ku capai botol kaca peninggalan Isha buatku yang dipenuhi kertas pelbagai warna yang dilipat kecil-kecil di dalamnya dan ku baca satu persatu. Air mata ku terus berjujuran menatap kalimah-kalimah cintanya untuk Ilahi
0 comments :
Catat Ulasan
SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI