seluruh penduduk kampung jadi korban ebola
BEBERAPA pekerja kesihatan membawa mayat pesakit Ebola di daerah Waterloo di kota Sierra Leone, Freetown pada 21 Oktober lalu.
FREETOWN – Wabak Ebola membunuh keseluruhan penduduk beberapa buah kampung di Sierra Leone dan dipercayai meragut lebih banyak nyawa berbanding angka kematian rasmi hampir 5,000 orang di seluruh dunia, kata seorang penyelaras kanan pertubuhan bantuan perubatan Perancis, MSF kelmarin.
Penyelaras berkenaan, Rony Zachariah berkata, beliau menyedari bahawa jumlah kematian akibat virus Ebola sebenarnya jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan selepas melawat Sierra Leone di Afrika Barat baru-baru ini.
“Situasi sebenar amat dahsyat. Terdapat beberapa buah kampung yang komunitinya dijangkiti virus maut itu,” kata Zachariah dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP.
“Sebuah kampung yang saya lawati mempunyai 40 penduduk, 39 orang mati akibat Ebola,” tambah koordinator itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mendedahkan sebanyak 4,951 orang mati manakala terdapat 13,567 kes Ebola yang dilaporkan.
“WHO juga menyatakan terdapat ralat sebanyak 2.5 kali ganda. Justeru, angka kematian sebenar mungkin 10,000 atau 15,0000 atau pun 20,000 orang,” ujar Zachariah.
Menurutnya, situasi sebenar wabak Ebola adalah jauh lebih buruk daripada yang dipaparkan sebelum ini.
Tambah Zachariah, di sebahagian kawasan di Sierra Leone, sistem kesihatan tempatan tidak lagi mampu menampung pesakit Ebola.
“Seorang jururawat di sana menjaga 10,000 orang dan kemudian anda hilang 10, 11 atau 12 jururawat kerana penyakit itu. Justeru, bagaimana sistem kesihatan hendak berfungsi,” katanya.
0 comments :
Catat Ulasan
SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI