kehidupan berliku nelayan di gaza



NELAYAN ialah pekerjaan tradisi keluarga di Gaza.



SELAIN kekurangan kelengkapan memancing, nelayan Gaza terpaksa berhadapan dengan harga petrol dan diesel yang melambung tinggi.

 SETIAP kali Rami Bakr, seorang nelayan Gaza turun ke laut kira-kira lima batu nautika dari pesisir pantai, kedengaran bunyi tembakan dan diikuti pembesar suara milik tentera Israel yang mengarahkan mereka berpatah balik.

Berdasarkan gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak lapan tahun lalu, nelayan Gaza hanya dibenarkan memancing sehingga enam batu nautika dari pesisir pantai.

Meskipun pertempuran semakin berkurangan atau dihentikan secara terang-terangan selama beberapa tahun, persetujuan untuk menamatkan peperangan diumumkan secara rasmi menerusi perjanjian gencatan senjata pada 26 Ogos lalu.

Perjanjian itu sekali gus mengakhiri pertempuran maut antara Israel dan Hamas yang berlarutan selama 50 hari.

Bagaimanapun, selepas sebulan gencatan senjata itu dipersetujui, ia masih gagal untuk membatalkan sekatan terhadap nelayan yang memancing melebihi enam batu nautika dari pesisiran pantai.

Pada suatu petang, Rami dan 10 anak kapal bersama pemberita daripada sebuah agensi berita menyertai ekspedisi memancing selama 10 jam di laut.

Selepas beberapa ketika, kedengaran bunyi tembakan dari bot tentera laut Israel. Dalam bot tersebut terdapat 10 tentera lengkap bersenjata mengarahkan mereka untuk berhenti.

“Ini keadaan terburuk yang pernah kami lalui,” kata nelayan berusia 41 tahun yang menghabiskan sisa hidupnya sejak tiga dekad lalu dengan memancing di perairan Gaza.

Ketika perang, askar Israel mengebom bot memancing di pantai dan menghalang penduduk Palestin turun mencari rezeki.

Semenanjung Gaza popular dengan kekayaan hasil perikanan. Walaupun keadaan laut yang tercemar akibat kesan perang, perairan itu masih kaya dengan hasil sumber laut.

“Kini perairan itu menjadi tumpuan kira-kira 4,000 nelayan yang majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan,” kata Ketua Sindiket Nelayan Gaza, Nizar Ayash.

Perang yang berlangsung selama tujuh minggu memusnahkan 80 buah armada Gaza yang menempatkan kira-kira 1,500 bot memancing dan beberapa dozen pondok memancing selain memusnahkan peralatan memancing seperti jala.

“Sejak gencatan senjata, terdapat banyak laporan membabitkan keganasan tentera Israel,” katanya yang merujuk beberapa siri tembakan amaran ke arah bot milik nelayan Gaza.

Pihak berkuasa Israel berkata, tembakan amaran itu bagi memastikan nelayan Gaza tidak memancing lebih daripada enam batu nautika dari pesisir pantai.

Selain kekurangan kelengkapan memancing, nelayan Gaza terpaksa berhadapan dengan harga petrol dan diesel yang melambung tinggi. Di sebalik kesusahan itu, nelayan Gaza masih meneruskan pekerjaan walaupun tidak membawa sebarang hasil.

“Hari ini, sekumpulan nelayan perlu menampung kos sehingga 400 euro (RM1,653),” kata Mehdi Bakr iaitu seorang nelayan yang mengalami kecacatan kekal tangan kerana diserang bot tentera laut Israel di sekitar tahun 1997.

Setiap malam berada di lautan, dia memerlukan kira-kira 270 liter diesel dan 250 liter petrol. Mehdi menambah, jumlah tangkapan jauh lebih rendah berbanding kos yang mereka laburkan.

“September dan Oktober adalah musim ikan sardin memenuhi perairan Semenanjung Gaza. Namun, spesies ikan itu hanya hidup di kawasan enam hingga sembilan batu nautika dari pesisiran pantai.

“Sekatan itu menghalang kami daripada mendapat tangkapan yang mampu menampung kehidupan kami,” ujar Tahr Bakr, 24, yang juga anak kapal Rami.

Nelayan ialah pekerjaan tradisi keluarga di Gaza. Kebanyakan dalam kalangan generasi muda terutama lelaki menganggap pekerjaan itu tidak lagi memberi manfaat kepada mereka.

Remaja yang mempunyai sepasang mata berwarna hijau itu tekad untuk tidak meneruskan legasi keluarganya itu. Sebaliknya, dia mendaftar sebagai penuntut dalam jurusan kewartawanan.

“Mencari pendapatan sebagai nelayan bukan pilihan yang terbaik. Ia membahayakan nyawa dan berisiko tinggi, saya akan belajar bersungguh-sungguh supaya tidak perlu memancing lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Palestin, Maria Jose Torres berkata, pada tahun 1993, Oslo Accord menubuhkan kawasan memancing sehingga 20 batu nautika dari pesisiran pantai.

“Lokasi penangkapan ikan perlu diperluaskan lebih dari enam batu nautika untuk memberikan kelonggaran kepada nelayan di sini menampung kehidupan mereka.

“Kira-kira 84 peratus daripada mereka mampu untuk meneruskan kehidupan kerana kewujudan pertubuhan seperti PBB yang sering memberikan bantuan.

“Walaupun menyedari sekatan yang ada, mereka tetap turun ke laut kerana ingin memastikan keluarga mereka mampu meneruskan kehidupan.

“Sudah lama saya tidak mendengar kumpulan nelayan yang pulang dari laut dengan hati yang gembira,” katanya sugul,” kata Jose Torres.

Bagi seorang generasi baharu, Mehdi turut risau dengan perkembangan itu. Tuturnya, kekurangan minat dalam kalangan generasi muda pada sektor itu mengundang kepada kehilangan generasi nelayan di bumi Gaza.

“Kami generasi muda khuatir dengan tekanan oleh pihak Israel. Jika ia tidak berhenti, mungkin tiada lagi aktiviti memancing di sini,” jelasnya

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI