kasih



Ligat sungguh peristiwa itu bermain di fikiranku. Entah kenapa walaupun hal itu sudah hampir 5 tahun berlalu namun aku masih tidak dapat melupakannya. Bukannya kami tidak pernah bertemu selepas tempoh itu, namun penerimaannya padaku cukup dingin.

Setiap kali bertandang ke rumahnya, pasti ada saja alasan diberikan dengan tujuan untuk mengelak dari berbual denganku. Balas dendamkah dia? Adakah kerana sambutan dingin waktu dia bertandang ke rumahku dulu menjadi satu penyebab kukuh untuk dia buat tidak kisah padaku kini?

Angin sepoi-sepo bahasa menyapa pipi. Dingin terasa. Suara emak memanggil adik bingit kedengaran. Aku hanya tersenyum. Pandanganku tepat ke arah susuk tubuh lelaki yang sedang asyik menyapu sampah. Sesekali matanya mencuri pandang. Kami hanya tersenyum bila pandangan bertaut. Alangkah bahagianya bila dapat merasa kasih dan perhatian seorang "abang". Naz hanya sepupuku.

Usia kami sama namun sikap ambil beratnya cukup menarik perhatianku. Ayah dan ibuku adik-beradik. Jadi tidak hairanlah jika kami akrab. Perjalanan selama sejam dari Kuala Lumpur cukup memenatkan. Udara panas dari laut benar-benar membuatkan aku jadi rimas. Kebetulan aku memang tidak tahan dengan cuaca panas.

Bukanlah bermakna aku ini puteri lilin tapi sejak kecil lagi aku memang alah pada cuaca panas. Namun kerana tujuan tertentu aku nekad juga memandu bersendirian. Dia menghulurkan aku sekotak air oren. Aku hirup perlahan menyejukkan tekak yang kering. "Kenapa bersusah-payah datang ke PD?" "Saja, nak jumpa abang Naz. Tak suka ke?"

Dia tersenyum. "Tentulah suka tapi abang rasa macam mimpi. Yerlah dulu Nora tak ada masa langsung untuk abang. Pandang abang pun tak ingin..", aku tergelak kecil. Masih mengungkit lagi rupanya dia. "Sori..Nora mengaku salah. Tapi kedatangan Nora ni cuma nak bertanya, betul ke abang dah nak bertunang?" Dia kelihatan gelisah. Sekejap tersenyum sekejap serius.

Aku jadi bingung dibuatnya. Macamlah pertanyaanku tadi satu isu yang besar untuknya. "Kalau ya.. kenapa?", dia kembali menjawab. Aku terdiam. Tiba-tiba hati kecil menjadi sayu. Aku memandang ke laut yang luas. Pandangan jadi sempit. "Bila?" "Bulan depan. Nanti Nora datang tau ke rumah mak. Nora kan sepupu abang yang paling baik.

Hari bersejarah abang, Nora kena ada sama. Pelik! Macam mana Nora tau ni?", tanyanya lagi. "Nora pergi jumpa mak long, dia yang cakap...". Ya Allah. Kalaulah dia tahu apa yang bersarang di hati pasti dia tidak tergamak untuk berbicara begitu. Aku kini merasa penyesalan yang teramat sangat. Kenapalah waktu dia beria-ia ingin masuk meminang, aku menolak hasratnya mentah-mentah?

Hendak dikatakan dia tidak ada rupa, ada. Hendak dikatakan dia tidak berjawatan tinggi, tidak juga. Pangkatnya kini sudah cukup untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Tak mungkin dapat aku lupa bagaimana beria-ianya Mira menyatakan rombongan pinangan akan dihantar untuk meminangku.

Terngiang-ngiang lagi bagaimana mesranya Mak Long, ibu saudaraku untuk bermenantukan aku. Namun saat itu apakan daya, hati aku telah diisi. Dan aku tidak boleh berbohong pada sesiapa. Penolakan aku rupa-rupanya mendatangkan satu suasana yang tidak baik dalam hubungan kekeluargaan selama ini. Seluruh sepupu seolah-olah membenciku.

Padahal bunga bukan sekuntum. Masih ramai lagi anak dara di luar sana yang boleh digandingkan dengan abang Naz namun semua itu ditolak mentah-mentah. Aku jadi bingung. Perit rasanya bila semua sepupu mengelak dari bertemu denganku.

Nasib bertimpa-timpa bila hubunganku dengan Khushairi ditentang keluarga. Padahal kami tinggal sekampung. Abah orang pertama menentang dengan alasan tidak sebulu dengan bakal bisan. Aduh! Aku menjadi mangsa keadaan. "Nora!", suara abah menjerit dari depan muka pintu. Aku dan adik tergamam. Kami segera meluru keluar.

Kelihatan wajah abah menjadi garang. Aku terkedu. "Kenapa abah?" "Tadi siapa yang datang ke rumah?", suaranya semakin keras kedengaran. "Abang Khushairi. Kenapa ayah?", adik memberanikan diri bersuara. "Pantang dalam keturunan aku, anak si Farouk tu datang ke rumah ni..", bentaknya lagi. Aku jadi hairan. "Kenapa pulak ni abah...?", aku cuba berlembut. "Aku tidak suka pada Khushairi.

Jangan harap dia boleh jadi menantu aku..", kata-kata abah berbau amaran. Terasa sebak di hati. Namun semakin lama aku berlembut, abah semakin berkeras. Bimbangkan penyakit darah tinggi abah berulang, aku mengalah. Dari saat itulah segala hasrat mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati berkecai.

Aku merantau ke ibu kota. Berbekalkan sijil SPM aku mencari kerja dan alhamdulillah rezekiku murah di kota besar. Saat itu aku mula mencari semula abang Naz yang hilang entah ke mana. Namun khabar akhir yang aku terima, dia telah berpindah ke Sabah. Khidmatnya selama 3 tahun diperlukan di sana.

Jadilah aku seperti orang kebingungan. Berkali-kali bertandang ke rumah abang Naz namun tiada seorang pun ingin memberikan nombor telefonnya. Berkali-kali kunjunganku hampa. Alasan yang diberikan dia tidak mahu diganggu. Bukan niatku untuk merayu kasih cuma ingin menjalin semula hubungan kekeluargaan yang kian jauh. "Asyik menung je la kau ni...", tegur Lina.

Secawan kopi dihulurkan padaku. "Entahlah Lina. Naik serabut fikiran aku ni ". "Dah jumpa ke si Naz tu?" Aku mengangguk. "Kau dah mengaku ke?" "Gila! Takkanlah aku nak suruh dia meminang kali kedua. Ini kerja gila tau. Dah le dulu aku menolak pinangannya, tup tup kali ini nak suruh dia datang lagi...", aku menggeleng-gelengkan kepala. "Kenapa tidak? Bukankah kau sayang pada dia? Tak gitu wahai Nora?", Lina tertawa kecil. "Memang la aku sayang tapi masalahnya dia dah nak bertunang pun.

Calon pun dah ada. Tak nak la aku berterus-terang...malu" "Biar malu asal tak melepas....", Lina kembali berpesan seperti peringatan terakhir. Terdetik dalam hati ada kebenaran di sebalik kata-katanya tadi. Aku menantinya penuh sabar. Kunjungan kerap ku ke rumah keluarga abang Naz akhirnya membuahkan hasil.

Kelihatan mereka semakin akrab dan melayaniku dengan baik. Aku sedar peristiwa lama telah membuatkan mereka berkecil hati. Aku harus menebus semula kesilapan lalu selagi mampu. Ikan sembilang masak tempoyak, ikan goreng, ulam pucuk ubi dan sambal aku masak sendiri untuk mereka. Kebetulan tanpa dirancang abang Naz akan sampai bila-bila masa saja.

Gembiranya hati bila dapat bertemunya nanti. Biarlah kegembiraan ini aku simpan rapi. Cuma yang merungsingkan aku bila Mira, adik bongsu abang Naz mengatakan kemungkinan bakal kakak ipar turut serta. Serta-merta air mukaku berubah. Sedih bercampur kesal. Namun nasi sudah menjadi bubur. Kedengaran suara abang Naz di muka pintu.

Mak Long menyambut mesra sambil memberitahu aku ada di dapur. Dia menjengah sekejap sambil menghulurkan sebungkus plastik. "Udang sambal petai, kegemaran Nora kan?" Hati menjadi sebak. Dia masih mengingati lauk kegemaranku. "Dah lama sampai?, tegurnya mesra. "Pukul 10 tadi." "Nora masak semua ni ke?", aku mengangguk.

Dia tersenyum. "Abang dah lapar ni, jom kita makan sama-sama", aku mengangguk. "Oh ya, sekejap lagi abang perkenalkan dengan bakal isteri abang ye. Dia ada kat depan dengan mak tu.". Mendengarkan kata-kata itu, hati aku terasa seperti dirobek dengan pisau. Pedih. Sakit hati. Cemburu.

Semua bercampur-baur. Benar seperi yang diperkatakan sebelum ini. Abang Naz pulang dengan seorang perempuan. Mungkin itulah bakal tunangnya. Aku meneka tanpa jawapan tepat. Kelihatan seorang perempuan manis berbaju kurung di ruang tamu. Aku mengintai dari jauh. Bukan main mesra lagi mak long melayannya.

Tiba-tiba hati jadi pilu. Makin kurang la nampaknya saham aku. Aku menyiapkan seluruh hidangan tengahari di meja makan. Terasa payah betul untuk berhadapan dengan mereka sekeluarga. Perlahan-lahan aku keluar ikut pintu belakang dan terus pulang ke rumah. Nasib baik semua orang tidak perasan.

Selamat. "Awalnya balik. Tadi kata nak jumpa buah hati", usik Lina sebaik tiba di rumah. "Arghhh.. malas la aku..." "Pulak. Ni mesti ada yang tak kena ni. Cuba la cita kat aku...", pujuk Lina berkali-kali. Beberapa jam selepas itu kepala mula terasa berat. Aku demam tiba-tiba. Lina panik bila badanku menjadi terlalu panas. Aku menghalang Lina dari memberitahu sesiapa pun.

Semalamam Lina menjagaku. Kesian dia. Keesokan paginya badan masih lagi panas. Berkali-kali nama Lina aku panggil namun tiada jawapan. Pada fikiranku dia mungkin ke pasar seperti biasa. Aku mengagahkan diri untuk ke dapur. Baru beberapa langkah, tiba-tiba kepalaku menjadi semakin berat. Pandanganku kelam. "Nora! Nora!", terdengar suara memanggil berkali-kali. Mataku buka. Kelibatnya masih samar-samar. "Nora pitam tadi..", sambungnya lagi.

Tersedar dari tidur jam sudah menunjukkan ke angka 4 petang. Kepala terasa berat. Aku melihat sekeliling. Sepi. Tiada sesiapa. Kelibat Lina pun tidak kelihatan. Aku mengagahkan diri untuk bangun. Pintu bilik dibuka dari luar. Terpacul wajah abang Naz dan Lina. Aku tergamam. "Abang!" "Yer Nora.

Kenapa boleh demam ni?", dia tersenyum. "Dah nak demam, nak buat macam mana..", aku menjawab seringkas mungkin. "Mesti ada sebab demam. Kenapa ekkk?", dia tersenyum lagi. "Dia terkejut bila tengok buah hati abang hari tu...", sampuk Lina bersahaja. Aku tergamam untuk kali kedua. Terdengar abang Naz dan Lina ketawa. "Kalau demam, macam mana nak hadiri pertunangan abang hujung minggu ni?" "Minggu ni? Kata bulan depan?" "Abang Naz dah tak sabar le.. ", usik Lina lagi.

Aku semakin jadi tidak keruan. Terasa sedih sangat hati ini. Makin panas badan jadinya. "Tapi Nora kena cepat sembuh tau?" "Kenapa pulak?", tanya ku lagi. "Nanti tak meriah la majlis tu... Nora kena ada sama...", ucapnya beria-ia. Aku pelik. "Ala..Nora tak ada pun tak apakan?" "Kalau Nora tak ada, cincin tu nak disarung kat mana pulak?", kata-katanya membuatkan aku menjadi semakin pelik. "La..perempuan hari tu kan ke ????? ", kedengaran Lina dan abang Naz ketawa besar. "Bukan la Nora, itu kawan dia je.

Saja je tu mereka pakat nak kenakan kau...", jawapan Lina merungkai segala persoalan. "Sayang gak rupanya Nora kat abang yer...", usik abang Naz yang membuatkan aku rasa seperti hendak pitam untuk kali kedua. Aku mengurut dada berulang-kali. Syukur pada Tuhan bila kata hati ini diberkati. Amin.

About Unknown

GERAKAN HARAPAN BARU..PAKATAN HARAPAN RAKYAT...PUTRAJAYA DI TUJU..ISLAM DI SANJUNG...PAS FOR NOTHING..ISIL IMPIAN KU...
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan

SEGALA KOMEN KOMEN DARI AKTIVITI DI SINI ADALAH ATAS TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN ITU SENDIRI DAN KOMEN KOMEN DARI ADMIN HANYALAH BERBENTUK CADANGAN DAN BUKAN HASUTAN....ADA OTAK FIKIR FIKIRKANLAH ATAS PERTIMBANGAN DIRI SENDIRI